Selamatkan Adik Qarliff

Ampang – “Allah sahaja yang mengetahui perasaan kami selepas mendapat perkhabaran tentang kesihatan anak kami. Kami sangat-sangat perlukan bantuan untuk membantu menjalani pembedahan anak kami,” luah Nur Amyliana Zakaria, 21, ibu kepada bayi yang menderita sakit jantung berlubang sejak bayi tersebut dilahirkan.

Bayi berusia 14 hari, Muhammad Adam Qarliff Mohd Sazli atau mesra disapa dengan panggilan Qarliff perlu menjalani pembedahan jantung secepat mungkin, namun kos yang dianggarkan antara RM50,000 hingga RM60,000 itu membuatkan Amyliana dan suaminya buntu serta hampir terduduk.

“Pada 13 Mei Qarliff dilahirkan dalam keadaan sihat di Hospital Ampang. Namun hari kedua selepas pemeriksaan, doktor mendapati nafas dan jantung anak saya berdegup kencang serta doktor mengarahkan Qarliff dipindahkan ke Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU),” katanya ketika ditemui Malaysian Digest disini, semalam.

Amyliana berkata, hasil pemeriksaan yang dijalankan oleh doktor sebelum ini mengesahkan bahawa terdapat lubang di antara bahagian jantung kiri dan kanan anaknya.

Lebih menyayat hati, bayi malang ini bukan sahaja mengalami masalah jantung berlubang, malah turut menghadapi komplikasi lain di bahagian jantung termasuk posisi saluran injap jantung yang terbalik dan saluran injap jantung yang sempit sehingga mengakibatkan bayi tersebut sukar untuk bernafas.

“Buat masa sekarang Qarliff hanya bertahan di wad NICU dan kami masih lagi menunggu keputusan daripada pihak Institut Jantung Negara (IJN) bagi mendapatkan tarikh pembedahan.

“Doktor menasihatkan kepada kami supaya melakukan pembedahan dengan kadar segera. Jika pihak IJN masih tidak dapat memberikan tarikh dalam masa terdekat, kami terpaksa mencari jalan lain kerana kami mahu melihat Qarliff menjalani hidup seperti kanak-kanak lain,” ujar Amyliana dengan nada yang sebak.Amyliana dan suami, Sazli sebak melihat nasib yang menimpa anak kedua mereka, Qarliff/Pic:mDAmyliana dan suami, Sazli sebak melihat nasib yang menimpa anak kedua mereka, Qarliff/Pic:mD

Bercakap kepada Malaysian Digest, bapa Qarliff, Mohd Sazli Zainuddin, 25, berkata, kos pembedahan yang mencecah hampir RM60, 000 itu amat tinggi bagi mereka. Ini kerana, beliau kini bekerja sebagai krew di sebuah syarikat panggung wayang (cinema) dan isterinya pula merupakan seorang penuntut di Institut pengajian tinggi swasta (IPTS) di Ibu Kota.

“Untuk menyediakan keperluan harian Qarliff kami masih lagi mampu, tetapi untuk menanggung kos pembedahan ianya menyukarkan kami.

“Polisi syarikat saya tidak memberi perlindungan kepada anak dibawah usia setahun, namun syarikat akan cuba mendapatkan derma daripada kakitangan-kakitangan lain,” katanya.

Qarliff merupakan anak kedua hasil perkongsian hidup Sazli dan Amyliana. Anak pertama mereka kini berumur tiga tahun.

Terdahulu, kisah adik Qarliff mula menjadi perhatian ramai apabila Amyliana di entri Instagram miliknya, @amylianazakaria memuat naik gambar anaknya dengan kapsyen yang menyayat hati.

“Ibu syg qarliff . jgn tnggal ibu.qarliff nmpak ibu kuat . tp ibu tak . ibu kuat sbb nak tngok qarliff hdup mcm kanak2 lain syg (Ibu sayang Qarliff. Jangan tinggal ibu. Qarliff nampak ibu kuat, tetapi ibu tak. Ibu kuat sebab mahu tengok Qarliff hidup macam kanak-kanak lain, sayang.),” tulis Amyliana di laman sosial tersebut.

Dalam pada itu, mana-mana pihak yang ingin menyalurkan bantuan bolehlah berhubung dengan Amyliana di talian 011-1577 6751 atau juga boleh membuat derma ikhlas menerusi akaun bank CIMB: 7018073584 atas nama Nur Amyliana Zakaria.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.