Rusuhan Bantah Piala Dunia

Brasilia – Polis Brazil semalam melepaskan gas pemedih mata bagi menyuraikan penunjuk perasaan terdiri daripada ketua suku bersenjata panah yang mengecam penggunaan wang negara bagi menganjur Piala Dunia.

Dengan berpakaian tradisional, kira-kira 500 ketua suku kaum asal Brazil – kebanyakannya dari Lembah Amazon – bersatu dengan 500 penunjuk perasaan mewakili pelbagai kumpulan sosial di ibu negara Brazil itu sebelum berarak menuju stadium.

Ketika polis bergerak menghalang perarakan itu, sesetengah ketua suku terbabit bergerak menggunakan kuda dan mula melepaskan anak panah.

Seorang anggota polis terkena panahan itu di kaki dan terpaksa dibedah bagi mengeluarkannya.

Rakaman stesen televisyen Globo TV turut menunjukkan seorang polis bermotosikal terkena serangan itu.

Sesetengah penunjuk perasaan juga membaling batu ke arah kira-kira 700 polis yang berkawal di sekeliling stadium.

Mereka turut menghalang laluan di sekitar bangunan kerajaan yang menempatkan kompleks kongres, istana presiden dan mahkamah.

Sebelum itu ketua suku kaum asal memanjat bumbung bangunan kongres dalam langkah didakwa mereka sebagai ‘mempertahankan hak.’ Kaum pribumi Brazil – yang membentuk 0.3 peratus daripada 200 juta penduduk negara itu – mengadakan siri protes sejak beberapa bulan lalu.

Mereka menuduh kerajaan Presiden Dilma Rousseff mengambil tanah adat serta melaksanakan dasar menyokong perladangan besar-besaran.

Kerajaan turut dikecam kerana menggunakan perbelanjaan besar menjayakan pesta Piala Dunia itu ketika keperluan untuk bidang kesihatan dan pendidikan masih masih tinggi.- AFP

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.