Nurul Izzah Tuntut Hak Penjagaan Anak

Kuala Lumpur – Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur pada Khamis menetapkan 17 Jun ini untuk tarikh sebutan semula kes hadanah atau tuntutan ke atas hak penjagaan anak yang difailkan oleh Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar terhadap suaminya Raja Ahmad Shahrir Iskandar Raja Salim.

Sebelum ini, media melaporkan status perkahwinan Nurul Izzah dan Raja Ahmad Shahrir juga akan diketahui selepas 12 Jun ini, iaitu setelah jawatankuasa pendamai yang dilantik oleh kedua-dua pihak mengemukakan laporan mengenai jalan penyelesaian dalam kes perceraian mereka.

Namun belumpun keputusan mengenai status perkahwinan mereka dalam kes tuntutan cerai secara baik oleh Nurul Izzah itu diketahui, ahli Parlimen PKR Lembah Pantai itu rupa-rupanya sudah memfailkan pula tuntutan ke atas hak penjagaan dua anaknya hasil perkongsian hidup dengan Raja Ahmad Shahrir.

Hakim Syarie Ab Malek Awang pada 1 April lalu menetapkan tarikh 12 Jun itu bagi membolehkan jawatankuasa pendamai yang dilantik oleh Nurul Izzah dan Raja Ahmad Shahrir mengemukakan laporan kepada mahkamah.

Ab Malek menetapkan tarikh itu dalam kamarnya ketika kes itu disebut dengan dihadiri peguam Nurul Izzah, Nor Mawaddah Ramli dan peguam yang mewakili Raja Ahmad Shahrir, Zulkifli Che Yong.

Mahkamah juga memerintahkan Nurul Izzah dan suaminya mengemukakan senarai nama calon jawatankuasa pendamai itu pada 17 April.

Dalam proses perceraian, jawatankuasa pendamai terdiri daripada anggota keluarga yang rapat dengan pasangan yang bertelingkah bertujuan memberi nasihat dan membantu mencari jalan penyelesaian.

Nurul Izzah, 34, anak sulung kepada Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, memfailkan permohonan untuk bercerai secara baik mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan 1984, pada awal Januari lalu.

Beliau bernikah dengan Raja Ahmad Shahrir pada 9 Mei 2003 dan dikurniakan sepasang anak perempuan serta lelaki berumur tujuh dan empat tahun.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.