Mi Bandung Perisa Lipas

KUALA LUMPUR –  Seorang konsultan kewangan terkejut apabila menemui anak lipas ketika menikmati mi bandung yang dipesannya di sebuah restoran terletak di Setiawangsa.

Lebih mengecewakan, hidangan tercemar itu menyebabkan dia mengalami masalah kulit.

Mohd Amin Jumberi, 42, berkata, dia memesan hidangan berkenaan di sebuah restoran ketika kunjungan pada jam 6.30 petang, Isnin lalu.

Bagaimanapun katanya, seleranya terbantut apabila menyedari satu objek hitam dalam mangkuk mi itu adalah anak lipas.

“Saya memanggil pekerja di situ dan dia sekadar meminta maaf atas apa yang telah berlaku.

“Dia mengambil nama dan nombor telefon saya dan berjanji pengurus restoran akan menghubungi saya. Namun sehingga kini saya tidak menerima sebarang panggilan dan permohonan maaf daripada pihak restoran berkenaan.

“Apa yang membimbangkan apabila kulit saya mengalami gatal-gatal pada sebelah malam, mungkin disebabkan makanan yang telah tercemar itu,” katanya kepada Sinar Harian.

Kata Mohd Amin, itu merupakan kali kedua dia ke restoran berkenaan dan dia amat kesal dengan apa yang berlaku kerana pihak pengurusan tidak menitikberatkan hal kebersihan.

“Saya belum membuat sebarang tuntutan, namun saya sedang fikirkan untuk tuntut ganti rugi kerana bahan kotor yang saya makan mungkin boleh menjejaskan kesihatan saya,” katanya.

Ekoran kejadian itu, dia telah membuat satu laporan polis di Balai Polis Setapak serta aduan kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Kementerian Kesihatan untuk tindakan lanjut.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.