Mangsa Ditipu Syarikat Pembekal

SHAH ALAM – Hajat seorang pengarah syarikat menambah pendapatan sampingan sebagai pembekal barangan runcit musnah apabila dia dakwa ditipu sebuah syarikat yang menggunakan nama orang politik dan cabutan bertuah untuk menarik perhatian umum.

Mangsa, yang hanya mahu dikenali sebagai Din, 35 berkata, dia mendapat tahu mengenai penjualan barang runcit itu daripada rakannya lalu membeli pelbagai barangan runcit itu dengan modal kira-kira RM3,000 dari sebuah syarikat di Taman Ken Rimba, Seksyen 16, di sini.

“Saya tertarik bila dengar harga runcit yang memang sangat rendah. Dalam fikiran saya ketika itu hendak buat pendapatan sampingan, sebab dah hampir puasa dan raya,” katanya.

Menurutnya, selepas itu dia ke syarikat berkenaan untuk membuat pembayaran secara tunai pada 14 Mei lalu.

Dia dijanjikan oleh kerani syarikat itu barang yang ditempahnya akan diperoleh minggu depan.

Selepas membuat pembayaran, dia diberikan kupon serta resit pembayaran. Kupon bernilai RM10 sekeping itu diberikan untuk menebus barangnya nanti.

“Saya langsung tidak syak apa-apa. Tapi bila saya datang tadi (semalam), memang terkejut bila syarikat yang menyewa dua lot premis itu sudah tutup, malah rosak,” katanya ketika ditemui pemberita di depan syarikat itu, semalam.

Seorang lagi mangsa, Sarimah Ahmad, 35 berkata, syarikat berkenaan turut menawarkan pekerjaan sampingan untuk suri rumah.

“Bila tengok iklan di premis itu, saya memang tertarik. Lagipun boleh meningkatkan pendapatan keluarga.

“Bila saya pergi ke syarikat itu, saya diminta membayar sebanyak RM100 sebagai wang pengangkutan penghantaran,” katanya.

Menurutnya, dia diberikan kerja mencuci kulit kerang lebih kurang empat kilogram dan diberi tiga hari untuk mencucinya sebelum wakil syarikat datang mengambil semula barangan itu di rumahnya.

Namun, sehingga kini dia tidak menerima sebarang bayaran sehingga mendapati syarikat berkenaan sudah tutup.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Azisman Alias ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan.

Manakala, Exco Kebajikan dan Hal Ehwal Wanita Selangor, Rodziah Ismail pula telah membuat laporan di Balai Polis Seksyen 15, Isnin lalu, berhubung sebuah syarikat yang menggunakan namanya bagi menipu pelanggan.

Beliau mendakwa  syarikat pembekal di Shah Alam itu menjual dan menggunakan namanya bagi kepentingan peribadi serta mengaut keuntungan dengan menipu pelanggan.

Pihaknya juga menafikan penglibatan kerajaan negeri dalam penipuan syarikat itu.

Dalam pada itu, Umno Bahagian Shah Alam mendesak Rodziah bertanggungjawab ke atas apa yang dialami oleh mangsa.

Ketuanya, Azhari Datuk Shaari berkata, beliau difahamkan mangsa sudah beberapa kali menghubungi Rodziah namun sehingga semalam, tiada sebarang maklum balas diperolehi.

“Sebagai wakil rakyat, sepatutnya beliau mendengar rintihan rakyat ini, kami (Umno) pula sanggup turun padang jumpa mangsa. Kebanyakan mangsa rakyat yang berpendapatan rendah.

“Beliau sendiri sepatutnya dengar aduan mangsa, kalau tak boleh tolong pun sekurang-kurangnya datang sini lihat sendiri apa jadi dengan mereka,” tegas Azhari.

Menurutnya,  mangsa mengadu terpaksa menanggung kerugian hampir RM800,000 dengan jumlah pelabur lebih 2,000 orang.

Beliau turut memberi jaminan akan membantu mangsa termasuk dari segi tindakan undang-undang dengan menyediakan khidmat guaman.

“Selain itu, kita juga akan cari jalan bagi menyiasat status syarikat itu dan berbincang bagaimana untuk selesaikan masalah,” katanya.

Semalam, kira-kira 200 mangsa sekitar Shah Alam dan Klang berkumpul bagi menuntut ganti rugi selepas mendakwa ditipu syarikat itu.

Orang kurang upaya (OKU), Aishah Mohamad turut menjadi mangsa penipuan syarikat itu.

“Saya ada tempah barang runcit bernilai RM120, mereka janji nak beri pada 18 Mei lalu, tapi sampai sekarang satu barang pun tiada.

“Saya percaya dengan syarikat ini sebab pertama kali saya membeli barang runcit, memang mereka hantar, tapi tak sangka ditipu masa beli kali kedua,” luahnya kecewa.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.