2 NGO Kelantan Buat Laporan Polis Terhadap Cadbury

KOTA BAHARU, 28 Mei (Bernama) — Dua badan bukan kerajaan iaitu Institusi Modenisasi Pemikiran Anak Kelantan (IMPAK) dan Majlis Tindakan Rakyat Kelantan membuat laporan polis terhadap syarikat pengeluar coklat, Cadbury Confectionery Malaysia Sdn Bhd (Cadbury).

Pengerusi IMPAK Wan Khairul Ihsan Wan Muhammad berkata mereka membuat laporan itu kerana menganggap penemuan DNA khinzir di dalam dua produk Cadbury sebagai isu serius yang menyentuh sensitiviti umat Islam di negara ini.

“Kita juga mahu satu ketetapan dan tindakan segera Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan mengeluarkan satu pekeliling supaya produk Cadbury tidak dipasarkan di mana jua premis sehingga siasatan selesai dan pastikan produk ini bersih daripada benda-benda yang menjadi sensitiviti kepada orang Islam.

“IMPAK turut menggesa kerajaan mewujudkan segera satu akta produk halal yang dikatakan tertangguh sehingga ke hari ini,” katanya kepada pemberita selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Baharu, di sini Rabu.

“Ini (akta) perlu dan ini masa yang sesuai untuk memberi jaminan dan keselamatan kepada rakyat Malaysia yang beragama Islam dan saya juga mohon Kementerian Kesihatan memberi satu keputusan yang cepat dan tidak melengah-lengahkan siasatan kerana rakyat berada dalam keadaan tertunggu-tunggu untuk mengetahui status sebenar produk tersebut,” katanya.

Beliau berkata pihaknya juga mahu syarikat tersebut diheret ke mahkamah dan dikenakan tindakan supaya menjadi pengajaran kepada pengeluar-pengeluar makanan yang lain.

Sabtu lepas Kementerian Kesihatan mengesahkan dua sampel coklat keluaran syarikat itu mengandungi DNA khinzir iaitu Cadbury Coklat Susu dengan Kacang Hazel (nombor kelompok 200813M01H12) dan Cadbury Coklat Susu dengan Buah Badam (nombor kelompok 221013N01RI1).

Di MELAKA, beberapa NGO dan sayap Umno bahagian Bukit Katil dan Bachang hari ini membuat laporan polis berhubung penemuan DNA khinzir dalam dua produk Cadbury itu.

Antaranya ialah Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Melaka, Badan Amal Tarbiah Sejagat Malaysia (BATAS) Melaka, Gerakan Belia 4B Melaka, Pemuda Umno Bachang serta Wanita, Pemuda dan Puteri Umno Bukit Katil.

Kesemuanya membuat laporan di Balai Polis Batu Berendam di sini pada 3.30 petang tadi.

Pengerusi Tetap Pemuda Umno Bahagian Bukit Katil Mohd Hezir Abu Bakar berkata laporan polis itu bertujuan meminta kerajaan dan pihak berkuasa mengambil tindakan tegas termasuk menutup kilang syarikat terbabit.

“Umat Islam di negara ini berasa tertipu dan kita minta pihak bertanggungjawab mengambil tindakan tegas terhadap pengeluar produk ini,” katanya kepada pemberita selepas membuat laporan polis itu.

Sementara itu, Setiausaha GPMS Melaka Irwanizam Ibrahim berkata isu itu adalah perkara sensitif kepada umat Islam yang mementingkan pemakanan halal.

“Kita juga meminta Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) supaya lebih berhati-hati dalam mengeluarkan sijil halal demi kesejahteraan umat Islam di negara ini,” katanya.

Dalam pada itu, kesemua pertubuhan berkenaan turut membuat laporan polis terhadap R.S.N Rayer yang mengeluarkan kata-kata kesat terhadap anggota Umno dan orang Melayu dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang baru-baru ini serta memohon Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Seri Delima itu memohon maaf secara terbuka.

— BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.