KUALA LUMPUR, – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) hari ini mendesak agar kerusi Parlimen P.166 Labuan diisytiharkan kosong dan satu pilihan raya kecil (PRK) diadakan dengan segera susulan keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam baru-baru ini.
Ketua Whip BERSATU, Datuk Dr Ronald Kiandee dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa beliau telah menghantar surat rasmi kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat bagi menuntut pengisytiharan kekosongan kerusi tersebut.
“Keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 15 April 2025 yang membatalkan Writ Saman dan Penyata Tuntutan yang difailkan Dato’ Indera Suhaili Abdul Rahman terhadap BERSATU jelas menunjukkan alasan yang digunakan oleh Speaker Dewan Rakyat untuk tidak mengosongkan kerusi itu sebelum ini sudah tidak relevan dan terpakai,” katanya.
Tambah beliau, tiada pilihan lain bagi Speaker melainkan menghormati Perlembagaan Persekutuan dan membuat pengisytiharan bahawa kekosongan telah berlaku di kerusi Labuan.
“Ini bagi membolehkan pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh untuk mengadakan satu pilihan raya kecil dengan segera,” ujarnya lagi.
Terdahulu, pada 9 Julai 2024, Ronald pernah mengemukakan permohonan yang sama, namun ditolak atas alasan tindakan undang-undang oleh penyandang kerusi tersebut masih berjalan.
Dengan keputusan mahkamah yang terkini, BERSATU melihat tiada lagi halangan untuk PRK diadakan.