Saloma Kuala Lumpur semarakkan Legasi Biduanita Negara

- Advertisement -

Cyberjaya – Semangat penghargaan terhadap seni dan warisan tanah air disemarakkan apabila Saloma Kuala Lumpur tampil mengadakan Majlis Jamuan Raya Aidilfitri 2025 dengan satu misi istimewa: menyerahkan gratuiti kepada waris Allahyarhamah Puan Sri Saloma, Biduanita Negara yang tidak pernah luput daripada hati rakyat Malaysia.

Dalam majlis penuh bermakna itu, dua orang cucu Allahyarhamah, Arzanee Armalie dan Rozaidie Armalie, menerima sumbangan gratuiti sebagai penghargaan terhadap sumbangan besar Saloma dalam memperkaya industri seni dan budaya negara. Penyerahan gratuiti tersebut disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, YB Tuan Khairul Firdaus Akbar Khan, sambil disaksikan oleh barisan kenamaan dan peminat seni tanah air.

Presiden Saloma Kuala Lumpur, Datin Riza binti Dato’ Che Umar, dalam ucapannya menjelaskan bahawa keputusan mengekalkan nama “Saloma” untuk restoran ikonik itu bukanlah dibuat secara sewenang-wenangnya. Katanya, “Kami bersepakat untuk kekalkan nama Saloma, kerana Saloma sudah ada dalam peta dunia. Sayang jika kita tidak teruskan legasi itu.” Beliau menekankan bahawa nama tersebut bukan sahaja membawa nilai sejarah, malah mewakili satu identiti seni yang harus terus dipertahankan.

Menurut Datin Riza, usaha menjejaki waris Saloma bukanlah sesuatu yang mudah. Namun, dengan bantuan Datuk Freddie Fernandez, Presiden Karyawan Malaysia, mereka berjaya menemui waris tanpa sebarang masalah. Apa yang lebih membanggakan, hubungan yang terjalin tidak dibebani dengan sebarang syarat atau komitmen bertulis. “Penyerahan gratuiti ini adalah niat ikhlas kami untuk berkongsi rezeki dengan waris, tanpa sebarang paksaan atau komitmen bertulis,” kata Datin Riza, menegaskan keikhlasan Saloma Kuala Lumpur dalam menghargai legasi seni yang ditinggalkan.

Beliau turut menyatakan rasa syukur kerana para waris memberikan kerjasama sepenuhnya dan menyokong inisiatif tersebut. “Alhamdulillah, waris sangat bekerjasama dan menyokong usaha kami. Tiada sebarang syarat dikenakan, hanya keikhlasan yang mengikat hubungan ini,” tambahnya lagi.

Mengulas tentang penggunaan nama dan imej Allahyarhamah, Datin Riza menjelaskan bahawa Saloma Kuala Lumpur hanya menggunakan nama “Saloma” tanpa melibatkan gambar atau imej sebenar bagi menghormati sensitiviti agama dan nasihat pihak berkuasa agama. “Kami hanya gunakan nama Saloma tanpa menggunakan gambar beliau secara terus, mengambil kira sensitiviti agama dan menghormati warisan arwah,” katanya.

Majlis itu turut diserikan dengan persembahan daripada legenda muzik tanah air, Dato’ Jamal Abdillah, yang memukau para hadirin dengan lagu-lagu malar segar, serta Amir Ukays yang menghangatkan suasana dengan nyanyian penuh nostalgia. Kehadiran artis-artis ternama ini menyemarakkan lagi majlis yang bertujuan untuk menyatukan legasi seni lama dengan semangat generasi baru.

Bukan sekadar acara untuk meraikan Aidilfitri, majlis ini turut menjadi platform untuk memperkukuhkan komitmen Saloma Kuala Lumpur terhadap pemartabatan seni dan budaya negara. Datin Riza berkata pihaknya bercadang untuk meneruskan pemberian gratuiti ini setiap tahun kepada waris Biduanita Negara, selagi rezeki mengalir di restoran berkenaan.

Selain daripada usaha memperingati Saloma, Saloma Kuala Lumpur juga aktif dalam aktiviti tanggungjawab sosial korporat. Mereka pernah mengadakan program kebajikan seperti Program Rahmat Ramadan: Santunan Ihsan, Malam Naungan Rahmat untuk artis veteran dan anak-anak tahfiz, serta program Kongsi Rezeki yang menjadi nadi setiap kali penganjuran amal.

Dalam mengadaptasi perubahan zaman, Saloma Kuala Lumpur juga mengambil pendekatan inovatif untuk menarik minat generasi muda, khususnya Gen Z. Dengan menawarkan pertunjukan kebudayaan, memperkenalkan lagu-lagu klasik dan menu tradisional Malaysia, restoran ini berjaya menghubungkan generasi baharu dengan warisan budaya yang semakin dilupakan. “Kita adakan tarian kebudayaan, memainkan lagu-lagu lama dan memperkenalkan seni budaya Malaysia kepada generasi muda. Itulah cara kami menanamkan rasa cinta kepada seni tradisional,” ujar Datin Riza.

Dengan semangat yang tidak pernah luntur, Saloma Kuala Lumpur berikrar untuk terus memperkasa legasi seni negara, menjadikan restoran ini bukan sekadar tempat makan, tetapi sebuah wadah memelihara warisan seni Malaysia untuk generasi akan datang.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat