KUALA LUMPUR – Polis merampas senjata milik Adun Hulu Kinta Muhamad Arafat Varisai Mahamad bagi membantu siasatan susulan dakwaan berlaku ugutan dengan menunjukkan senjata api pada pemilihan cabang PKR 13 April lepas.
Ketua Polis Perak Noor Hisam Nordin berkata, tindakan merampas senjata itu prosedur operasi standard (SOP) apabila mana-mana individu yang memiliki permit senjata api terlibat dalam siasatan kes polis.
Katanya, permohonan oleh polis untuk membatalkan permit dibuat pada 18 April lepas dan Adun itu telah menyerahkan senjata kepada polis pada keesokan harinya.
“Setakat ini kita sokong untuk batalkan permit pemilikan senjata api (di) Bukit Aman dan senjatanya pun telah kita rampas, disimpan di IPD Ipoh,” katanya kepada pemberita pada sebuah majlis di Ipoh hari ini, lapor Bernama.
Tambahnya, siasatan kes itu masih berjalan dan 13 individu telah dipanggil untuk membantu, termasuk Muhamad Arafat dan pengadu.
Terdahulu, tular video berdurasi 1 minit dan 5 saat memaparkan seorang individu mendakwa Muhamad Arafat menunjukkan pistol kepada ahli yang sedang merayu undi pada pemilihan 13 April lepas.