KUALA LUMPUR- Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming menempelak tindakan ahli Parlimen dari blok pembangkang yang tidak menghadiri lawatan kajian khas bagi meningkatkan kesedaran terhadap kepentingan Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (PSB).
Terdahulu sebaik selesai lawatan ke empat lokasi di sekitar Kuala Lumpur, Kor Ming menyuarakan kekecewaannya apabila tiada seorang ahli Parlimen pembangkang yang hadir mengikuti lawatan itu.
Katanya, sebelum ini Ahli Parlimen pembangkang terutamanya Perikatan Nasional (PN) cuba mempolitikkan isu Akta PSB.
“Saya sudah mengeluarkan jemputan khas kepada semua ahli Parlimen pembangkang PN. Mula-mula mereka janji nak hadir.
“Tapi waktu kita mulakan ekspedisi, pembangkang gagal hadir sesi yang penting ini,” katanya pada sidang media ekspedisi Akta PSB bersama Ahli Parlimen lapor BH pada Selasa.
Terdahulu ekspedisi itu dihadiri lapan Ahli Parlimen Dewan Rakyat dan sembilan Ahli Dewan Negara.
Lawatan itu membabitkan tinjauan ke dua flat uzur di ibu kota bagi mengkaji keadaan daif serta isu setempat yang dihadapi penduduk, selain meninjau kejayaan dua projek pembaharuan yang membangunkan semula flat usang menjadi kawasan kediaman moden dan berdaya huni.
Kor Ming berkata, melalui lawatan itu, kerajaan ingin menekankan keperluan mendesak untuk menggubal RUU PSB yang dirangka sejak 2013 dan dijangka dibentangkan pada sidang Parlimen Jun ini.
Katanya, sebelum ini Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan terdahulu bersetuju untuk melaksanakan RUU PSB.
“Tapi sekarang mereka bantah…Dulu setuju, sekarang bantah, sedangkan garis panduannya sama dan sudah diwujudkan pada 2013.
“Jangan halang Kerajaan Madani bantu rakyat,” ujarnya dengan tegas.
Kor Ming berkata, ketika ini Seksyen 57 Akta Hakmilik Strata 1985 (Akta 318) menetapkan persetujuan 100 peratus diperlukan bagi penamatan hak milik strata.
“RUU PSB mencadangkan nilai ambang pada tahap 80 peratus bagi bangunan berusia kurang 30 tahun manakala 75 peratus bagi bangunan melebihi 30 tahun dan 51 peratus bagi bangunan yang tidak selamat dan terbengkalai,” katanya.
Beliau juga berkata, RUU PSB juga akan memastikan pemilik asal mendapat pulangan setimpal.
“Undang-undang di bawah akta itu jelas menyatakan bahawa apa yang akan diterima tidak boleh kurang daripada nilai sedia ada. Jika unit sedia ada adalah seluas 450 kaki persegi (kps), maka pemilik akan menerima tidak kurang daripada itu, malah lebih,” katanya.
Kor Ming berkata, ketika ini KPKT mengenal pasti 534 kawasan berpotensi untuk pembangunan semula bandar di Semenanjung Malaysia.
Katanya, daripada jumlah itu, 139 kawasan berada di Kuala Lumpur dengan keluasan keseluruhan ialah 1,297 hektar.
“Untuk makluman, negara kita sudah ketinggalan 35 tahun berbanding Hong Kong, Singapura dan Australia yang sudah mula memperkenalkan RUU itu sejak 1991,” katanya.
Minggu lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, tidak timbul isu kerajaan ingin merampas tanah rizab Melayu apatah lagi mengusir melalui cadangan RUU PSB.
Anwar sebaliknya mempersoalkan tindakan sesetengah individu yang membantah cadangan tersebut termasuk menjadikan perkara itu sebagai sentimen politik.