KUALA LUMPUR – Seramai 65 Orang Asli daripada suku kaum Jakun berjaya mengetepikan perintah mahkamah berhubung penjualan 57 unit kondominium di Lanai Gurney, Keramat, yang juga aset Tabung Amanah Lembah Linggui.
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam, membenarkan saman pemula Orang Asli terbabit yang bertindak selaku pemohon terhadap pemegang amanah, iaitu RHB Trustees Berhad yang dinamakan selaku responden.
Pesuruhjaya Kehakiman Gan Techiong dalam keputusannya semalam, memerintahkan perintah bertarikh 20 Jun 2023 dan yang dipinda pada 11 November tahun lalu, diketepikan serta dibatalkan.
Beliau juga memerintahkan, sebarang penjualan dan pindah milik semua 57 unit kondominium itu yang dipegang di bawah hak milik strata hendaklah dijual dengan harga nilai pasaran dan melalui tender terbuka atau lelongan awam.
Mahkamah juga memerintahkan penjualan dan pindah milik hendaklah dikendalikan perunding bebas termasuk peguam, penilai, dan ejen harta pusaka.
Perkara itu disahkan peguam Rabia Abd Halim dibantu Siti Zabedah Kasim yang mewakili Orang Ali berkenaan ketika dihubungi pemberita hari ini, lapor BH.
Semua pemohon memfailkan saman pemula itu pada 16 Julai 2024, dengan alasan bukan sahaja persetujuan tidak diperolehi daripada semua benefisiari Tabung Amanah itu, responden juga enggan, cuai dan gagal untuk memaklumkan mengenai tindakan menjual 57 unit kondominium terbabit.
Mereka menyatakan bahawa Perintah Jualan bertarikh 20 Jun 2024 tidak dibuat secara adil dan saksama dan ada unsur ketidakadilan kepada pemohon.
Selain itu, menurut laporan penilaian hartanah, harga pasaran agregat adalah RM17.1 juta, tetapi terdapat perjanjian antara pemegang amanah dan ejen hartanah bahawa harga penjualan dinaikkan kepada RM19 juta, bagaimanapun hanya RM12 juta diberikan kepada Tabung Amanah manakala RM7 juta akan digunakan sebagai kos pengubahsuaian.
Pemohon menyatakan, sebanyak RM7 juta di mana baki duit diberikan ejen hartanah kononnya untuk mengubahsuai hartanah itu, sebaliknya ia percubaan untuk melucutkan hak Orang Asli.
Menurut pemohon, penjualan 57 unit kondominium itu seharusnya dijalankan secara jualan lelongan awam atau tender terbuka dan dikawal selia oleh mahkamah, bukannya ejen hartanah persendirian kerana ia kepunyaan Tabung Amanah untuk manfaat kepada Orang Asli.
Orang Asli terbabit adalah penerima sah bagi pampasan yang dibayar oleh Kerajaan Negeri Johor menurut perintah dan Surat Ikatan Amanah bertarikh 5 Jun 2000 melalui saman pemula yang diputuskan Mahkamah Tinggi Johor Bahru, dan susulan itu tertubuhnya Tabung Amanah berkenaan.