Aidilfitri di Studio Village, Platform baru One-Stop Center bagi dunia kreatif tempatan

- Advertisement -

Cyberjaya – Suasana penuh kehangatan dan kemeriahan Syawal begitu terasa di Studio Village apabila majlis sambutan Aidilfitri anjuran mereka berjaya mengumpulkan ramai penggiat seni tanah air. Majlis yang berlangsung di tapak Studio Village di Kampung Malaysia Tambahan, Sungai Besi ini bukan sekadar acara perayaan, malah menjadi peluang memperkenalkan Studio Village secara rasmi kepada pemain industri hiburan negara.

Sejak awal petang, para tetamu yang terdiri daripada penerbit, pengarah, pelakon, penyanyi, penulis skrip, kru produksi, dan rakan-rakan media mula membanjiri lokasi. Turut hadir adalah rakan strategik dan individu yang telah lama menyokong perkembangan Studio Village sejak awal penubuhannya. Para tetamu disambut dengan juadah tradisional Hari Raya seperti rendang, ketupat, lemang, serta kuih-muih, menambahkan lagi suasana kekeluargaan dalam kalangan penggiat seni.

Acara kemuncak diraikan dengan persembahan istimewa daripada Amelia, artis undangan yang memukau hadirin dengan nyanyian dua buah lagu, menjadikan suasana lebih hidup dan penuh apresiasi seni. Ia membuktikan bahawa Studio Village bukan hanya tentang fasiliti, tetapi juga mendukung seni dan bakat tempatan.

Namun, di sebalik kemeriahan itu, majlis ini membawa misi yang lebih besar—memperkenalkan Studio Village sebagai sebuah pusat kreatif yang komited untuk menyokong pembangunan industri kandungan Malaysia secara menyeluruh. Dalam ucapan perasmian, wakil Studio Village menegaskan betapa pentingnya peranan mereka sebagai penyedia kemudahan lengkap yang mampu menjadi rakan strategik kepada mana-mana produksi, besar mahupun kecil.

“Kami ingin menapak dalam industri hiburan tanah air,” ujar mereka. “Majlis ini bukan sekadar meraikan Syawal yang hampir ke penghujung, tetapi juga sebagai peluang memperkenalkan Studio Village secara rasmi kepada seluruh ekosistem industri.”

Menurutnya lagi, Studio Village bukan hanya menawarkan ruang penggambaran, tetapi menyediakan pelbagai perkhidmatan penting yang menjadikannya sebuah ‘one stop centre’ untuk semua keperluan penerbitan.

“Kami menawarkan perkhidmatan sewaan elemen produksi, penulisan skrip, penyediaan pengangkutan produksi, pasca produksi, dan yang paling penting, kami membuka lokasi kami kepada mana-mana produksi untuk menjalankan penggambaran. Semua yang diperlukan oleh sesebuah produksi, kami sediakan di bawah satu bumbung.”

Ditubuhkan kira-kira lapan bulan lalu, Studio Village kini semakin mendapat perhatian banyak pihak. Tenaga kerjanya terdiri daripada mereka yang berpengalaman lebih sepuluh tahun dalam bidang produksi dan penerbitan, menjadikan mereka bukan calang-calang pendatang baharu. Kepercayaan yang telah diberikan oleh syarikat-syarikat besar seperti Media Prima, Astro, Astro Shaw, dan Viu merupakan petanda jelas bahawa Studio Village sedang mengorak langkah yang betul.

Selain menyediakan kemudahan sedia ada, pihak Studio Village juga mempunyai pelan jangka panjang yang lebih besar. Mereka kini dalam proses merangka beberapa projek penerbitan sendiri, termasuk kandungan digital, drama bersiri dan filem cereka. Ini merupakan sebahagian daripada usaha mereka untuk bukan sahaja menyediakan ruang, tetapi juga menyumbang kandungan kepada industri hiburan tempatan.

“Dalam jangka masa panjang, kami mahu menghasilkan karya sendiri dan menjadi pemain aktif dalam penyampaian kandungan tempatan. Kami juga ingin menjadi medium pembangunan bakat serta platform kerjasama antara pemain industri,” tambah mereka lagi.

Majlis turut diserikan dengan ucapan penghargaan kepada semua pihak yang telah menyokong perjalanan awal Studio Village, disusuli dengan seruan untuk terus bekerjasama bagi memartabatkan industri hiburan negara.

“Akhir kata, jutaan terima kasih atas kehadiran anda semua. Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin. Jemput makan, bergembiralah, dan jangan bersedih. Terima kasih sekali lagi.”

Dengan semangat perayaan sebagai latar, sambutan Aidilfitri kali ini bukan sahaja mengukuhkan hubungan antara penggiat industri, malah menandakan bermulanya sebuah perjalanan yang diharapkan mampu menyuntik nafas baharu dalam dunia penerbitan dan kandungan tempatan. Studio Village hadir bukan sekadar sebagai fasiliti, tetapi sebagai rakan strategik yang memahami denyut nadi industri hiburan Malaysia.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat