Adun Sura tegaskan tak hina Raja, akan ambil tindakan undang-undang terhadap Zulqarnain Lukman

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Adun Sura Dr Tengku Muhammad Fakhruddin menegaskan bahawa tuduhan yang mengaitkan beliau dengan perbuatan menghina Yang di-Pertuan Agong adalah satu tuduhan yang sangat berat, tidak berasas, bersifat jahat dan berniat jahat (mala fide).

Dalam kenyataan di Facebook pada Selasa, beliau berkata Peguam Zulqarnain Lukman secara terbuka telah membuat kenyataan yang memberi gambaran seolah-olah Adun Sura itu menghasut rakyat untuk mengurangkan kepercayaan kepada institusi Raja-Raja Melayu .

Sedangkan katanya, kenyataan asal beliau langsung tidak menyentuh apatah lagi menghina mana-mana Raja atau institusi diraja.

“Tuduhan ini bukan sahaja mencemar reputasi saya sebagai wakil rakyat, malah cuba mencetuskan persepsi buruk yang berunsur fitnah terhadap saya secara peribadi dan politik.

“Saya sedang mengambil langkah undang-undang terhadap Zulqarnain Lukman atas kenyataan liar dan bersangka buruk ini.

“Jangan menggunakan title (kononnya) ‘pakar perlembagaan’ tersebut untuk membuat sebarang tuduhan dan membawa persepsi jahat kepada seseorang,” katanya.

Menurut Adun Sura itu lagi, semua wajib memelihara institusi Raja-Raja Melayu.

“Tetapi memfitnah sesama rakyat atas nama kononnya mempertahan institusi Raja adalah perbuatan yang sangat tidak bertanggungjawab.

“Saya akan terus bercakap tentang kebenaran dan keadilan untuk rakyat, dan saya tidak akan tunduk kepada taktik ugutan fitnah seperti ini.

“Kebenaran itu tidak boleh ditenggelamkan oleh fitnah,” kata Tengku Muhammad Fakhruddin.

Sebelum ini, Zulqarnain dalam tulisan yang kemudiannya dipetik Malaysiakini berkata, analogi yang dibuat oleh Adun dari Pas itu melalui tulisannya terlalu jauh melencong berniat tidak baik kepada Yang Dipertuan Agong.

“Jika Adun ini hendak bermusuh dengan DAP itu dia punya fasal. Tetapi menyebarkan naratif songsang begini tidak perlu dibuat,” katanya.

Zulqarnain dalam tulisannya bertanya, Adun ini sedar atau tidak dalam Perlembagaan Malaysia ini mengenai kedudukan Raja-Raja.

“Adun ini sedar atau tidak kedudukan Melayu dalam Perlembagaan Malaysia ini jauh lebih kuat daripada Perlembagaan Singapura.

“Dalam Perlembagaan Malaysia ini kesemua jawatan penting dalam kerajaan seperti Perdana Menteri, Menteri, Ketua Polis, Panglima Tentera, Ketua Hakim, Peguam Negara dan banyak lagi jawatan penting kerajaan kesemuanya perlu mendapat perkenan YDPA atau Majlis Raja-Raja.

Katanya, dalam Perlembagaan Singapura tiada peruntukan berkaitan Agong atau Majlis Raja-Raja.

“Adun ini sedar atau tidak bahawa sebarang perlanggaran Perlembagaan itu adalah suatu perkara yang serius dan boleh dikenakan tindakan undang-undang sama ada secara sivil atau jenayah.

“Tulisan Adun ini adalah memperkecilkan kuasa dan kedaulatan Agong dan Majlis Raja-Raja seolah-olah Adun ini menganggap Agong dan Majlis Raja-Raja ini boleh diperkotak-katikkan oleh kuasa politik.

“Tulisan sebegini adalah satu cenderung kepada perbuatan menghasut rakyat untuk mengurangkan kepercayaan rakyat kepada Agong dan Majlis Raja-Raja.

“Adun ini sudah melampaui batasan undang-undang dalam bersuara. Tindakan undang-undang patut dikenakan ke atas Adun ini,” kata Zulqarnain.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat