KUALA LUMPUR – Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) mengharamkan 12 buku kerana didapati mengandungi ajaran dan fahaman bertentangan akidah ahli Sunnah Wal Jamaah (Al-Asyairah Al-Maturidiyyah).
Antara senarai buku yang diharamkan berkenaan adalah The Goal of The Wise, Abdullah Hashem Aba al-Sadiq. 2022; Memahami dan Menyingkapi Tradisi Tuhan Kebangkitan yang Dibenci tapi Dirindui, Ahmad Mesiyyakh. 2022.
Selain itu, Manusia Sebelum Adam, Luqmanul Hakim Abdul Razak, 2023; Suhuf Abraham, Tanpa penulis dan tahun terbit; Suka Duka Perjalanan Dhul Qarnain, Tanpa penulis dan tahun terbit.
Turut tersenarai adalah judul Islam, Autoritarianisme dan Kemunduran Bangsa, Ahmet T. Kuru. 2024, Perikatan Ulama Negara Punca Autoritatianisme dan Kemunduran Dunia Muslim, Ahmet T. Kuru. 2022 serta Golongan Muslim Pertama, Sejarah dan Memori, Asma Afsaruddin. 2018.
Pengerusi Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia, Datuk Dr. Nooh Gadot berkata, keputusan itu dibuat selepas Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah MKI Kali Ke-125 yang berlangsung pada 24 hingga 26 September tahun lalu.
Menurut beliau, hasil perbincangan mesyuarat tersebut mendapati kandungan kesemua 12 buku berkenaan berpotensi mengelirukan masyarakat Islam di negara ini, sekali gus menyebabkan buku-buku tersebut perlu diharamkan.
“Justeru itu, orang Islam dilarang memiliki, menyimpan, mencetak, menjual termasuk mengedarkan apa-apa terbitan berkenaan isi kandung buku-buku tersebut yang didapati mengelirukan umat Islam.
“Muzakarah mengambil ketetapan dan bersetuju memperakukan kesemua 12 buku tersebut dikenakan Perintah Larangan oleh Kementerian Dalam Negeri,” katanya dalam kenyataan.