Pemimpin PPBM Akui Kerajaan PH Kurang Membela Golongan Bawahan

KUALA LUMPUR – Menjelang setahun tempoh pentadbiran Pakatan Harapan (PH) pada 9 Mei nanti, Tan Sri Rais Yatim melihat kerajaan baharu itu dilihat masih kurang membela golongan bawahan.

Kata bekas menteri itu, kerajaan dilihat hanya menumpukan kepada golongan pertengahan sahaja buat masa ini.

Beliau juga dalam masa yang sama berkata, PH perlu berubah corak kepimpinan mereka apabila sudah menjadi kerajaan, bukannya pembangkang lagi.

“Sebagai seorang yang agak lama dalam sistem, para menteri kita jangan anggap kita masih pembangkang mesti menganggap diri sebagai pemimpin ulung dan membantu rakyat bawahan dulu kemudian pertengahan dan akhirnya di atas

“Sekarang, kita lihat banyak pembelaan dari pertengahan di bawahnya kurang jadi dengan pandangan sedemikian saya rasa sampai masanya kita mengorak langkah baru supaya yang setahun ini menjadi teladan dan yang empat tahun akan datang menjadi perbuatan,” kata beliau.

Selain para pemimpin lain dalam kerajaan PH, Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad menurut Rais, perlu melihat corak ekonomi rakyat setiap hari agar tiada satu yang tersisih dan terabai daripada mendapat bantuan.

“Jangan salah guna kuasa bila di atas. Walaupun Perdana Menteri kita mesti melihat ekonomi rakyat hari-hari dan tidak boleh hanya mengambil dasar-dasar utama sedangkan nelayan, peladang dan orang kampung kita terbiar atau rasa tertinggal dari segi produk mereka tidak laku,” katanya.

Namun begitu beliau tidak menafikan sumbangan PH yang diberikan menerusi pelaksanaan undang-undang, memerangi rasuah secara tegas dan pembelaan masyarakat Felda khususnya.

“PH sudah menyalurkan banyak pembaharuan dan saya tidak wajar menyebut satu-persatu tetapi dalam pelaksanaan undang-undang dan juga keluhuran undang-undang, teratas sekali

“Kedua pembelaan masyarakat Felda sudah diperkenalkan.

“Ketiga berusaha supaya kosong rasuah. Ini penting bagi negara ini. Sekiranya kempen ini tidak sama-sama kita dokong, negara kita akan hancur,” tambah Rais yang juga Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Negeri Sembilan.- MalaysiaGazette

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.