Saya Jadi Calon Bebas Kerana PKR Tamak Haloba, Kata Pemimpin PPBM

MELAKA — Naib Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Hang Tuah Jaya Prof Madya Dr Kamarolzaman Mohd Jidi hari ini menyangkal dakwaan Presiden parti itu Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa dirinya adalah pengkhianat perjuangan PPBM.

Kamarolzaman berkata beliau adalah anggota seumur hidup PPBM, justeru tiada mana-mana pemimpin PPBM termasuk Muhyiddin mempunyai hak autokratik untuk memecat anggota seumur hidup parti sewenang-wenangnya, sebaliknya perkara itu perlu dibawa ke lembaga tatatertib terlebih dahulu.

“Saya setia kepada BERSATU (PPBM), saya setia kepada Tun Dr Mahathir (Mohamad). Saya masuk parti (PPBM) bukan kerana kekayaan, saya ingin membela rakyat, itu objektif utama saya. Malah saya sanggup pencen awal (sebagai professor di universiti awam) untuk bersama berjuang dengan PPBM.

“Saya melawan parti PKR yang tamak haloba. Di Ayer Molek apabila sudah kita tebas lalang, halau binatang buas dan pokok mula berbuah, PKR yang menjadi benah di Hang Tuah Jaya mula mengintai peluang dan akhirnya kerusi itu diberikan kepada mereka,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Semalam, Kamarolzaman bertindak untuk bertanding sebagai calon bebas untuk Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Molek kerana kecewa dengan sikap kepimpinan PPBM Melaka didakwanya tidak mematuhi perjanjian dan amanah.

Pada PRU14 ini Kamarolzaman bakal menghadapi saingan empat penjuru dengan Farhan Ibrahim (PKR), Jantan Abdullah (PAS), dan Rahmad Wariman (BN) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Molek yang berada dalam Parlimen Hang Tuah Jaya.

Muhyiddin ketika ditanya pemberita tentang tindakan Kamarolzaman, selepas ceramah di Muar, Johor malam tadi, berkata anggota PPBM bertanding sebagai calon bebas pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan dipecat daripada parti dan mereka sudah mengkhianati perjuangan parti.

Kamarolzaman berkata langkah Pakatan Harapan meletakkan calon PKR di Parlimen Hang Tuah Jaya dan DUN Ayer Molek adalah suatu kesilapan kerana mengikut perkiraan sokongan terhadap parti itu semakin surut. — Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.