Unsur Khianat Punca Histeria Di Sekolah

KOTA BHARU – Semua lokasi panas diperiksa.  Memang sah ada ‘sesuatu’ yang mengganggu! Malangnya, ia bukan gangguan biasa namun berbaur unsur pengkhianat hingga menimbulkan huru-hara histeria melibatkan lebih 45 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pengkalan Chepa 2, baru-baru ini.

 

Pendedahan itu dibuat Pengerusi Persatuan Darussyifa’ Kelantan, Zaki Ya, sepanjang tiga hari berkampung merawat situasi ‘panas’ histeria dipercayai akibat gangguan jin lebih dua minggu lalu.

 

“Kami sembilan anggota Darussyifa’ Kelantan ke sana kira-kira jam 6 petang Ahad (dua minggu lalu) dan setelah memeriksa beberapa tempat termasuk di tangga pejabat bilik pengetua, di pejabat, kawasan bilik penolong kanan (PK), tingkat tiga dan lima yang dikatakan lokasinya, memang diakui ada ‘benda’ (jin) ada di situ apabila kami meremang bulu roma, maknanya ‘ia’ ada di situ.

 

“Saya pergi sendiri, jadi saya tidak menolak kemungkinan masalah ini berunsurkan pengkhianatan yang dianggap menambahkan keadaan huru-hara dan sehingga kini (semalam), kejadian histeria masih berlaku,” dedahnya ketika ditemui Sinar Harian, semalam.

 

Katanya, apa yang pelik, histeria itu bukan sahaja melibatkan pelajar perempuan, sebaliknya pelajar lelaki dan guru pun turut sama terkena gangguan apabila mereka menjerit sehingga keadaan menjadi tidak terkawal, juga berjangkit kepada pelajar lain.

 

“Petang berkenaan juga kami merenjis air bacaan rukyah di tempat yang disyaki dan setelah dirawat, jumlah pelajar yang dirasuk  berkurangan dari 45 orang kepada dua hingga tiga orang sahaja. Alhamdulillah… cuma ia masih berlaku sehingga sekarang (semalam).

 

“Jarang guru terkena histeria, sebab itulah kami tidak menolak kemungkinan ia adalah perbuatan pengkhianatan bertujuan untuk melemahkan pentadbiran sekolah, sebab itulah kes ini berlarutan dan selagi ia tidak dirawat, selagi itulah ia tidak tenang,” katanya.

 

Kata beliau, tempoh rawatan Darussyifa’ sekiranya melebihi tiga hari, sepatutnya keadaan menjadi damai semula, namun di sekolah itu, pihaknya mendakwa ada yang menjalankan ‘top up’ (cubaan menambah kuasa gangguan) untuk terus menjadikan sekolah itu huru-hara.

 

Cuaca panas penyumbang

 

Berhubung dengan keadaan cuaca panas berikutan fenomena El-Nino, Zaki berkata, beliau juga tidak menolak faktor tersebut penyumbang sampingan kepada berlakunya keadaan histeria tersebut.

 

“Cuaca panas juga menjadi faktor pelajar histeria iaitu apabila keupayaan badan lemah, ia memudahkan jin masuk ke dalam badan,” katanya.

 

Katanya, berdasarkan pengalamannya juga, kes histeria juga biasanya banyak berlaku pada tahun genap berbanding tahun ganjil.

 

“Jin suka pada tahun genap dan kenyataan ini dibuat berdasarkan pengalaman serta rekod kami semasa merawat, contohnya pada 2014, kes paling besar berlaku di SMK Padang Enggang dan tahun 2016 ini di SMK Pengkalan Chepa.

 

“Wallahuaklam, itu teori sahaja berdasarkan rekod rawatan kami dan jin memang diarahkan berada di satu-satu tempat,” katanya.

 

Katanya, rawatan histeria dan gangguan di SMK Pengkalan Chepa 2 itu akan diadakan secara berterusan dan berharap masalah itu akan reda sebaik-baiknya.

 

Beberapa lokasi di kawasan pejabat, bilik pengetua, bilik PK dan dataran perhimpunan menjadi tempat tumpuan gangguan di SMK Pengkalan Chepa 2.

 

ALLAH turun ujian

 

“ALLAH nak naikkan taraf keadaan di SMK Pengkalan Chepa 2, sebab itulah ALLAH turunkan ujian kepada warga sekolah berkenaan.

 

Zaki berkata, ujian berkenaan memang ALLAH sudah tetapkan melalui sumber lain yang kita tidak tahu, ALLAH mahu menaiktaraf mereka yang duji sama ada di  kawasan rumah atau sekolah.

 

“Sebelum ini, sekolah itu mungkin tidak menonjol dari sudut pandangan orang, namun selepas kejadian histeria, ujian yang ALLAH SWT turunkan itu adalah untuk menaik taraf, kita pun sama, kalau ALLAH mahu mengangkat taraf lebih tinggi, Dia akan beri dan biasanya ujian berkenaan mampu ditangani dan boleh dipertahankan,” katanya.

 

Beliau berkata demikian selepas mengadakan rawatan susulan dalam usaha meredakan histeria yang masih berlaku secara berkurangan di SMK Pengkalan Chepa 2, di sini.

 

Zaki berkata, dengan ujian tersebut, sekolah itu menjadi tumpuan, terkenal dan tersebar, malah hasilnya akan menambah kebaikan atau kemuliaan, sama ada dalam tempoh cepat atau lambat.

 

Kata beliau, pihak sekolah diminta menangani ujian terbabit secara positif, jangan berfikir negatif malah pihaknya akan menangani masalah itu dengan memberi perlindungan supaya tidak berulang pada masa akan datang. – Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.