Jangan Terpedaya Dengan Calon Bebas Mengakui “Mesra BN” – Wan Junaidi

BEKENU – Usah terpedaya dengan rayuan pihak-pihak tertentu yang cuba meraih undi dengan mendakwa mereka adalah “Mesra Barisan Nasional” (BN) kerana wakil BN sudah dipilih oleh Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Haji Adenan Satem iaitu calon BN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-11 kelak.

 

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Dato Sri Dr Haji Wan Junaidi berkata, sebagai contoh, Ketua Menteri telah melantik Rosey Yunus sebagai calon BN di Bekenu maka tiadalah calon-calon BN lain yang bertanding di Bekenu seperti yang didakwa.

 

“Jangan percaya akan pujukan orang meraih undi mengatakan mereka adalah calon bebas yang mesra BN kerana di Bekenu, hanya Rosey Yunus adalah wakil Adenan Satem iaitu Pengerusi BN Sarawak.”

 

“Bila tiba hari mengundi pada 7hb Mei nanti, fokuskan minda dan undi calon BN Rosey Yunus sahaja kerana kita mahu Rosey (BN) menang dan memberi mandat besar kepada Adenan,” katanya lagi.

 

Junaidi menambah, banyak yang telah Ketua Menteri lakukan dalam tempoh dua tahun beliau memimpin Sarawak maka berilah beliau lima tahun lagi dan insyaAllah, banyak pembangunan boleh dilaksanakan lagi.

 

Beliau yang juga merupakan Ahli Parlimen Santubong berkata demikian dalam ucapannya ketika mengadakan perbincangan bersama penduduk setempat di Dewan Masyarakat Kampung Tanjung Berlipat, Bekenu dalam lawatan kerja seharinya di Miri sebentar tadi.

 

Dalam pada itu, Junaidi menjelaskan, biarpun peparitan di kampung bukan dibawah kementeriannya tapi di bawah kawalselia Jabatan Perparitan dan Saliran (JPS) negeri serta Jabatan Kerja Raya, beliau bertindak untuk turun padang dan melihat sendiri permasalahan yang berlaku.

 

“Saya telah mendapat persetujuan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak agar menghulurkan bantuan kepada kerajaan negeri Sarawak bagi melaksanakan projek parit induk (utama) bagi mengeluarkan air hujan mengelakkan air bertakung dan menjurus kepada kejadian banjir.”

 

Bagi mengatasi permasalahan sistem perparitan di Kampung Tanjung Berlipat, Bekenu, Junaidi menyatakan, beliau telah mengarah Jurutera JPS membuat kajian kawasan tersebut dalam masa yang terdekat sebelum menentukan kos projek ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.