Hanya Satu Nama Calon Gabenor Bank Diterima – Istana Negara

KUALA LUMPUR – Istana Negara semalam berkata Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah memperkenankan hanya satu nama bagi jawatan Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM).

 

“Dimaklumkan, tidak ada nama lain selain daripada penama tersebut telah diangkat untuk diperkenankan oleh Seri Paduka Baginda.

 

“Bagi maksud yang dinyatakan, Seri Paduka Baginda telah berkenan menandatangani pelantikan tersebut pada Selasa, 26 April 2016,” kata Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Wira Awang Kecik Abdul Rahman dalam kenyataan di sini, hari ini.

 

Sehubungan itu, katanya, dakwaan yang menyatakan berlakunya ‘pusingan U’ dalam urusan pelantikan jawatan itu adalah tidak benar sama sekali.

 

Kenyataan dari Istana Negara menyangkal laporan media asing mengenai berlakunya ‘pusingan U’ dalam pelantikan Datuk Muhammad Ibrahim sebagai Gabenor baru BNM bagi menggantikan Tan Sri Dr Zeti Akthar Aziz, 68, yang akan bersara pada Sabtu ini.

 

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan pelantikan Muhammad itu adalah untuk tempoh lima tahun berkuat kuasa 1 Mei ini.

 

Najib berkata pelantikan Muhammad mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.