Tabung Bantuan Untuk Budak Koma

JEMPOL – UMNO Dewan Undangan (DUN) Negeri Sungai Lui semalam melancarkan tabung sumbangan bagi Muhammad Nur Iman Mohd Razi, 5, yang koma kerana menghidap ketumbuhan.

 

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Lui Mohd Razi Mohd Ali berkata, tabung berkenaan akan digerakkan di semua kawasan di DUN Sungai Lui bagi membolehkan orang ramai yang prihatin menderma.

 

Katanya, ini sebahagian inisiatif UMNO bagi meringankan beban kewangan keluarga berkenaan yang terpaksa menanggung perbelanjaan sepanjang rawatan anak di hospital.

 

“Kita berharap masyarakat dapat menyumbang mengikut kemampuan masing-masing dan dalam masa sama turut berdoa agak Muhammad Nur Iman sembuh seperti biasa,” katanya yang melancarkan tabung berkenaan selepas merasmikan Majlis Penyampaian Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M) di Dewan Muhibbah, Kampung Baru Ayer Hitam dekat sini, semalam.

 

Mohd Razi berkata, tabung berkenaan akan dibuka selama tiga minggu dan orang ramai boleh menyumbang menerusi tabung yang turut diletakkan di Pejabat Khidmat Masyarakat DUN.

 

“Kita berusaha untuk membantu keluarga berkenaan yang juga anak peneroka FELDA Pasoh 2 dan juga berharap keluarga tabah menghadapi situasi ini,” katanya.

 

Akhbar ini pada Sabtu lalu memaparkan berita mengenai rintihan sepasang suami isteri, Mohd Razi Aris, 37, dan Norhamima Abd Manap, 33, yang mengharapkan bantuan orang ramai bagi menampung perbelanjaan anak mereka yang ketika ini masih dirawat di Hospital Kuala Lumpur selepas koma sejak 9 Mac lalu.

 

Sementara itu, pada majlis berkenaan seramai 721 orang yang tidak mempunyai akaun bank menerima baucar BR1M fasa pertama.

 

Katanya, penerima berkenaan tidak boleh menyalahkan kerajaan atas kelewatan menerima BR1M kerana itu adalah kehendak mereka yang tidak mahu membuka akaun bank seperti disarankan sebelum ini. – HMetro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.