SKMM Minta YouTube, Facebook Buang Video Alvin Tan Hina Azan

CYBERJAYA – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah meminta YouTube dan Facebook membuang video menghina azan yang dimuat naik Alvin Tan pada 21 April.

 

Dalam kenyataan di sini hari ini, SKMM menyatakan walaupun YouTube menyekat video berkenaan untuk penonton di Malaysia semalam, tetapi berdasarkan pemantauannya, ia dimuat naik semula beberapa kali dalam laman itu.

 

“Kami sedang berhubung dengan Facebook supaya membuang video itu,” menurut SKMM. Video berdurasi hampir tiga minit bertajuk ‘Muslim Call to Prayer-Azan (R&B Cover) yang dimuat naik ke laman Facebook Alvin menimbulkan kemarahan umat Islam.

 

SKMM mengingatkan orang ramai supaya tidak berkongsi video berkenaan melalui sebarang media sosial atau aplikasi chat kerana perbuatan itu melanggar Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

 

“SKMM sedang memantau penyebaran video ini,” menurut kenyataan itu.

 

SKMM juga menasihati orang ramai yang tidak berpuas hati dengan perbuatan tidak bermoral Alvin itu supaya tidak melakukan perkara yang boleh menjejaskan keamanan dan keharmonian negara.

 

Alvin dilaporkan kini berlindung di Amerika Syarikat untuk mendapatkan suaka politik sebagai cubaan untuk mengelak daripada dikenakan tindakan bagi kesalahan yang dilakukannya di Malaysia.

 

Kesalahannya termasuk memuat naik kandungan yang menghina Islam dan Raja-raja Melayu melalui akaun Facebooknya. Kesalahan itu boleh dikenakan hukuman mengikut Akta Hasutan. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.