Program Transformasi Buahkan Hasil Positif

KUALA LUMPUR – Program Transformasi Malaysia mencatat kejayaan besar apabila berjaya meningkatkan pendapatan per kapita rakyat kepada US$10,426 dan memperkukuh pelaburan kepada RM228 bilion, mewujudkan 1.5 juta pekerjaan baharu dan mengurangkan pengangguran.

 

Program itu turut menjajarkan ekonomi pada kedudukan yang lebih kukuh ke arah merealisasikan Malaysia negara maju pada akhir dekad ini.

 

Selain mengurangkan defisit fiskal kepada 3.5 peratus tahun lepas daripada 6.7 peratus pada 2009, projek-projek Program Transformasi Ekonomi (ETP) yang diilhamkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, terutama MRT dari Sg Buloh ke Kajang sejauh 51km, berada pada kedudukan yang baik untuk siap pada Julai 2017.

 

Bercakap pada pelancaran Laporan Tahunan GTP dan ETP 2014 di sini hari ini. Najib berkata peningkatan pendapatan per kapita rakyat Malaysia kepada US$10,426 pada 2014 daripada US$7,059 pada 2009 membuktikan kejayaan GTP dan ETP.

 

Perdana Menteri berkata sejak lima tahun program dilaksanakan, nilai pelaburan kekal tinggi dan terus meningkat kepada RM228 bilion pada 2014 daripada RM142 bilion pada 2009.

 

“GTP dan ETP disokong oleh pelbagai inisiatif seperti aktiviti pelaburan di Kompleks Bersepadu Pengerang di Johor, yang nilai pelaburannya mencecah US$27 bilion menjelang 2019 dan mampu menyediakan sehingga 4 ribu peluang pekerjaan kepada rakyat,” katanya.

 

Berucap pada pelancaran Laporan Tahun 2014 GTP dan ETP di sini hari ini, Najib berkata program-program transformasi juga membuahkan hasil positif dengan sejumlah 1.5 juta pekerjaan baharu diwujudkan sehingga tahun lepas dalam sektor-sektor Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA).

 

Beliau berkata lebih lima juta rakyat lagi di kawasan luar bandar memperoleh manfaat dalam bentuk kemudahan asas, seperti bekalan elektrik dan air bersih sejak program transformasi dilaksanakan.

 

“Hampir 170 ribu golongan miskin berjaya dibawa keluar daripada kepompong kemiskinan, susulan peningkatan jumlah pendapatan mereka dalam tempoh lima tahun ini.

 

“Tambahan pula, inisiatif GTP dan ETP semakin dirasai kesan nikmat pembangunannya oleh saudara-saudara kita di Sabah dan Sarawak,” katanya.

 

Pada 2014 sahaja, Najib berkata sepanjang 242 kilometer jalan telah siap dibina, enam ribu rumah telah menerima bekalan air bersih, 13 ribu keluarga mendapat bekalan elektrik dan 5,500 kediaman baharu siap dibina.

 

Sementara itu, beliau berkata negara masih mampu mencapai pertumbuhan enam peratus keluaran dalam negara kasar (KDNK) yang kukuh pada 2014, mengatasi anggaran 5.7 peratus oleh Bank Dunia.

 

Perdana menteri berkata ini menjadikan pertumbuhan KDNK Malaysia antara yang paling tinggi dalam kalangan negara anggota ASEAN meskipun berdepan dengan ketidaktentuan ekonomi global.

 

Pelaburan swasta pula mencakupi 64 peratus daripada jumlah pelaburan keseluruhan pada tahun lepas, justeru menjadikan sektor swasta sebagai pemacu utama keseluruhan pelaburan dalam negara.

 

Ini dibuktikan melalui kadar pertumbuhan tahunan terkompaun atau CAGR untuk pelaburan swasta yang meningkat 2.5 kali ganda antara 2011 dan 2014.

 

Najib sebelum itu berkata Indeks Prestasi Utama (KPI) keseluruhan bagi Bidang Keberhasilan Negara melepasi 105 peratus manakala KPI Inisiatif Reformasi Strategik kira-kira 110 peratus dan 120 peratus dan melepasi sasaran masing-masing. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.