Masalah Seharian Rakyat Lebih Penting Dari Kritikan Mahathir – Zambry

Permatang Pauh – Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir menyifatkan kritikan mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir tidak akan mempegaruhi undi di pilihan raya kecil (PRK) Permatang Pauh.

 

Zambry walau bagaimana pun menggesa agar Barisan Nasional (BN) memberikan tumpuan untuk memantapkan gerak kerja kempen bagi menarik sokongan pengundi berbanding isu yang dibangkitkan itu.

 

“Kita tidak fikir begitu, yang paling penting adalah memberikan tumpuan di sini (PRK Permatang Pauh) untuk memberikan taklimat dan bagaimana kita bergerak (kempen).

 

“Soal isu akan ada pelbagai isu dan kita tidak boleh menafikannya kerana akan ada sahaja isu dari kumpulan atau individu yang akan memainkan isu tertentu,” katanya ketika ditemui di Majlis Ramah Mesra di Pusat Daerah Mengundi Cross Street Bukit Mertajam lewat malam tadi.

 

Zambry ketika ditanya mengenai gesaan Mahathir agar Tan Sri Muhyiddin Yassin menggantikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak menegaskan, perkara tersebut tidak seharusnya berbangkit.

 

Menurut Menteri Besar Perak itu, isu yang dibangkitkan Mahathir kurang mendapat perhatian rakyat yang lebih sibuk menumpukan urusan kehidupan seharian mereka.

 

“Yang paling penting adalah gerak kerja yang mana akhirnya akan menentukan tahap sokongan (pengundi) sama ada kita akan dapat atau pun tidak, bukan soal siapa pun kerana apa yang paling penting ialah memberikan fokus dan tumpuan pada pilihan raya.

 

“Saya yakin dalam konteks pilihan raya di Permatang Pauh ini isu-isu yang mendasari permasalahan rakyat yang akan menjadi perhatian mereka (pengundi), ” ujarnya lagi.

 

Tun Mahathir ketika berucap pada program “Bicara Negarawan: Anda Tidak Keseorangan” anjuran gabungan badan bukan kerajaan NGO Prihatin, mahu Timbalan Perdana Menteri itu menggantikan Najib sekiranya pemimpin itu berundur dari jawatannya.

 

Terdahulu Muhyiddin ketika diminta mengulas mengenainya turut enggan melayan isu yang dibangkitkan itu kerana merasakan ia tidak memberi sebarang faedah untuk pengundi di Permatang Pauh.

 

 

 

 

LAPORAN VIDEO MENYUSUL

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.