Ahmad Maslan Kecewa, Dr Asri Label Dirinya Bodoh

Permatang Pauh – Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan kecewa dengan pandangan sesetengah pihak yang melabel dirinya bodoh kerana tampil menjelaskan berhubung isu Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).

 

Menurut Ahmad sekiranya mereka yang mengkritik dirinya itu faham mengenai GST sudah pasti tuduhan seperti itu tidak akan dilemparkan.

 

“Kalau Tun Dr Mahathir, Dr Asri dan Dr Agus tahu tentang GST ini menurunkan cukai rakyat, saya kira mereka setuju dengan GST.

 

“Oleh kerana itu saya ingin mengesyorkan Dr Agus dan Dr Asri belajar lebih lanjut tentang GST sebelum nak kata saya bodoh dan sebagainya,” katanya ketika sidang media di Pusat Media Permatang Pauh sebentar tadi.

 

Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin sebelum ini tampil mengkritik kenyataan Ahmad berhubung isu GST melalui laman Facebook miliknya yang disifatkan sebagai bodoh.

 

“Jika Tun M dikatakan tidak faham GST, apakah rakyat Malaysia yang hampir kesemua mereka tidak lebih berpengalaman tentang ekonomi negara dari Tun M akan lebih faham tentang GST?!

 

“Jika orang yang dianggap oleh majoriti rakyat Malaysia sebagai ‘kurang cerdik’ (mengelakkan perkataan bodoh) disebabkan kenyataan-kenyataannya tentang GST, dia menyatakan Tun M yang terkenal dengan kepintarannya itu tidak faham GST, apakah si pembuat kenyataan itu lebih bijak di bandingkan Tun M?!!,” tulis Asri malam tadi.

 

Dalam posting yang sama, Asri juga berpendapat dalam fikah Islam, orang yang safih (bodoh atau kurang cerdik), pengurusan harta tidak boleh diserahkan dalam golongan seperti itu walaupun harta tersebut miliknya.

 

“Saya terfikir, dalam fekah orang yang safih (bodoh atau kurang cerdik) tidak boleh diserahkan pengurusan harta sekalipun miliknya sendiri, persoalannya; apakah mereka dalam kategori ini boleh diserahkan urusan negara yang membabit rakyat yang ramai?!. Patutkah golongan sufaha (kata banyak untuk safih iaitu bodoh ataupun kurang cerdik) diserahkan kepada mereka jawatan penting seperti menteri dan seumpamanya?!,” tulis Asri.

 

Ketua Penerangan UMNO itu ketika mengulas lanjut turut menggesa agar mereka-mereka yang tidak faham mengenai GST ini belajar mengenai isu yang dibangkitkan itu sebelum mengkritik dirinya.

 

“Tak semestinya (belajar dengan saya). Tengok di laman web sudah cukup, saya syorkan (penasihat) Tun Mahathir ceritakan yang benar jangan tidak benar, kesian orang tua tu.

 

“Juga (tidak ketinggalan) pelapor-pelapor kepada Tun Mahathir tolong ceritakan (perkara sebenar) tentang GST kepada beliau… Janganlah beri maklumat yang salah kepada Tun Mahathir, GST ini menurunkan enam cukai rakyat” ujarnya lagi.

 

Ahmad akhir-akhir ini menerima kecaman hebat daripada pelbagai pihak khususnya di laman media sosial berhubung kenyataannya berkenaan GST.

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.