Puting Beliung Ragut 21 Nyawa, Tupelo Alami Kemusnahan

TUPELO, Mississippi: Pada hari kedua ribut ganas meragut 21 nyawa di selatan Amerika Syarikat, satu puting beliung melanda bandar Tupelo di Mississippi, menyebabkan kemusnahan besar terhadap premis kediaman dan perniagaan. 

Sekurang-kurangnya seorang terbunuh di Tupelo, iaitu bandar kelahiran Elvis Presley. Kebanyakan kematian adalah akibat sistem ribut yang melanda Arkansas dan negeri lain kelmarin apabila puting beliung mencampak kenderaan ke udara seperti mainan di Arkansas dan negeri lain. 

 Puting beliung di Tupelo semalam adalah satu daripada beberapa yang melanda Mississippi serta memusnahkan ratusan rumah dan perniagaan, memutuskan kabel elektrik dan menumbangkan pokok.

“Ia amat buruk sekali. Kami sedang cuba menyelamatkan mangsa,” kata Ketua Polis Tupelo, Bart Aguirre, merujuk usaha anggota pasukan kecemasan pergi dari rumah ke rumah mencari mangsa yang mungkin terperangkap dalam runtuhan bangunan. 

Bekalan elektrik terputus di sebahagian besar bandar itu di mana pihak berkuasa melaksanakan perintah berkurung mulai jam 8 malam. 

Beberapa kawasan perumahan ditutup untuk anggota pasukan kecemasan memeriksa kabel elektrik yang terputus serta kebocoran gas. 
“Ia situasi yang amat serius,” kata Datuk Bandar Tupelo, Mayor Jason Shelton. “Saya menggalakkan semua orang berlindung dalam rumah dan berwaspada dengan keadaan cuaca.” – Reuters

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.