Pas Minta Azmin Henti Serang Isu ‘Tok Lebai’

SHAH ALAM – PAS Selangor akan meminta penjelasan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berhubung kenyataan beliau yang didakwa memperlekehkan golongan ‘tok lebai’.

Setiausahanya, Khairuddin Othman, berkata Mohamed Azmin sebagai Timbalan Presiden PKR sepatutnya mengeluarkan kenyataan lebih matang, bukannya menyerang parti lawan jika tidak berpuas hati dengan sesuatu isu.

“Saya minta Mohamed Azmin hentikan guna media kerana kadang-kadang maksud yang hendak diberitahu tidak sampai. “Mohamed Azmin adalah pemimpin parti di peringkat nasional dan tidak perlu mengeluarkan kenyataan sebegini,” katanya ketika ditemui pemberita di lobi sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor di sini, hari ini.

Khairuddin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Jaras mengulas kenyataan Mohamed Azmin dalam majlis anjuran PKR baru-baru ini, yang dilaporkan berkata, pemimpin PAS tidak perlu memakai seperti seorang tok lebai kerana hati mereka tidak mewarisi sifat lebai.

Malah, Mohamed Azmin yang juga Menteri Besar Selangor turut menyifatkan pemimpin PAS yang berpakaian seperti tok lebai sebagai berperangai hodoh.

Difahamkan kenyataan Mohamed Azmin itu merujuk kepada kenyataan pemimpin PAS tertentu yang mahu mengambil alih pentadbiran di Selangor, jika menang pada pilihan raya umum nanti.

Mengenai usul yang dikemuka beberapa cawangan PAS yang mahu parti itu memutuskan tahaluf siyasi dengan PKR, Khairuddin berkata, cadangan itu belum muktamad.

“Usul itu dikemukakan oleh empat daripada 22 kawasan, malah tidak sampai separuh yang kemuka usul ini. Isu PAS mahu rampas Selangor adalah pandangan peribadi, ” katanya.-BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.