Mael (XPDC) Tidak Nazak Hanya Dirawat Akibat Gout

PETALING JAYA – Penyanyi kumpulan XPDC iaitu Mael hanya mendapatkan rawatan penyakit gout dan bukannya berada dalam keadaan nazak seperti yang menjadi pertanyaan beberapa pihak.

Pengurusnya, Yazid berkata, penyanyi itu mendapatkan rawatan di Hospital Pakar Sultanah Fatimah, Muar Johor kerana penyakit berkenaan pada Rabu.

“Memang benar dia dimasukkan ke hospital tetapi yang mengatakan dia sedang nazak sama sekali tidak benar.

“Mael sedang mendapat rawatan di wad kecemasan kerana diserang penyakit gout dan keadaannya tidak membimbangkan.

“Dia cuma ditahan doktor untuk dimasukkan air kerana badan Mael agak lemah,” katanya kepada mStar Online ketika dihubungi pada Rabu.

Terdahulu kecoh apabila Mael dikatakan berada dalam keadaan nazak dan khabar angin itu mula bertebaran di kalangan peminat.

Dalam pada itu, Yazid berkata, dia tidak mengetahui sama ada Mael akan terus ditahan di hospital atau dibenarkan pulang selepas keadaannya bertambah baik.

“Saya kini tidak berada dengannya dan hanya mendapat perkembangan situasi Mael menerusi perbualan telefon bersama rakan Mael yang menemaninya di hospital.

“Rakannya memberitahu Mael berada dalam keadaan baik tetapi tidak pasti sama ada dia akan terus ditahan di hospital atau pun tidak,” katanya.

Sementara itu, Yazid memberitahu, Mael sudah setahun mengalami penyakit itu dan sering berulang-alik ke hospital untuk mengambil ubat.

Bagaimanapun penyakit itu semakin teruk sejak akhir-akhir ini mungkin disebabkan faktor penyanyi itu terlalu sibuk dengan persembahan. – mstar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.