China Minta Perancis Lindung Warganya

PARIS – China menggesa kerajaan Perancis melindungi warganya berikutan insiden polis menembak mati seorang bapa kepada lima anak yang mencetuskan bantahan dan menyebabkan 35 orang ditahan.

Ratusan anggota komuniti Asia dan penyokong antiperkauman berkumpul di luar balai polis di timur laut ibu negara itu pada malam kedua untuk membantah pembunuhan itu.

Penunjuk perasaan yang kebanyakan berketurunan China melaungkan ‘polis pembunuh’ dan ‘ketidakadilan’ sambil membawa sepanduk dan meletakkan lilin serta bunga di tanah.

Polis berkata, berlaku pergaduhan antara polis dan penunjuk perasaan ketika bantahan kelmarin. Sehari sebelumnya, polis menembak mati seorang lelaki China berusia 56 tahun yang dikenali sebagai Shaoyo Liu.

Susulan insiden itu, tiga pegawai polis cedera dalam pergaduhan berkenaan dan sebuah kenderaan polis dirosakkan. Sumber polis memberitahu AFP, pegawai polis dipanggil ke rumah mangsa selepas mendapat laporan mengenai pertikaian domestik.

Kata sumber itu lagi, lelaki terbabit tiba-tiba menyerang pegawai polis dengan pisau sebelum ditembak mati. – AFP/BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.