200,000 Pesawah Padi Di Seluruh Negara Bakal Dilindungi Insurans Bencana

KUALA LUMPUR – Kira-kira 200,000 pesawah di seluruh negara bakal menerima manfaat menerusi tabung insurans bagi membantu meringankan beban akibat bencana, kata Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani itu berkata, bagi tujuan itu, Syarikat Padiberas Nasional Berhad (BERNAS) menjadi syarikat sulung menyumbang RM10 juta untuk tabung berkenaan.

Menurutnya, kerajaan akan membantu bagi mendapatkan sumber-sumber tertentu untuk memastikan langkah berkenaan berjalan dengan lancar.

“Ia akan diberi kepada pesawah secara menyeluruh, namun mereka perlu mengikut kaedah ditetapkan. Buat masa ini ia sedang dalam pertimbangan akhir,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Malam Anugerah Tani BERNAS 2017 di sini malam tadi.

Pada majlis berkenaan, Ahmad Shabery menyampaikan anugerah kepada pemborong dan pengilang bumiputera, pesawah serta anugerah khas kepada pembekal perkhidmatan.

Selain itu, beliau turut menyerahkan pakej umrah kepada wakil petani terpilih menerusi Program Rakan Ladang (PRL) BERNAS.

Dalam perkembangan sama Ahmad Shabery berkata, beliau akan mengemukakan perkara itu ke dalam mesyuarat Kabinet dalam masa sebulan dua lagi.

Katanya, jika langkah itu dipersetujui mungkin kelulusan untuk mendapatkan dana bagi tujuan itu akan diterima pada Bajet 2018. – MalaysiaGazette

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.