Sharifah Sakinah Sah Bergelar Isteri Aliff Adha

PETALING JAYA – Sharifah Sakinah selamat bergelar isteri kepada juruterbang Aliff Adha, 27, dengan sekali lafaz dalam satu majlis pernikahan di Hotel Shangri-La di Putrajaya kira-kira pukul 5.56 petang, Sabtu.

 

Sharifah Sakinah, 26, dinikahkan oleh bapanya sendiri Syed Abu Bakar di hadapan Imam Masjid Wilayah Putrajaya, Ustaz Fairuz Suhari.

 

Pada majlis berkenaan Sharifah Sakinah menerima tujuh dulang hantaran daripada pihak lelaki di mana tujuh dulang tersebut mengandungi tujuh pasang kasut sukan jenama Adidas dengan rekaan yang berbeza.

 

Manakala, dia membalas sebanyak sembilan dulang kepada pihak lelaki berupa sebentuk cincin, senaskhah al-Quran, tali pinggang, seutas jam tangan dan sepasang kasut bola.

 

Bagaimanapun, jumlah mas kahwin dan wang hantaran dirahsiakan.

 

Sementara itu, Sharifah Sakinah menzahirkan rasa syukur apabila upacara akad nikah berjalan lancar dan sah sebagai seorang isteri.

 

“Alhamdulillah, segalanya berjalan lancar. Saya berasa gembira kerana akhirnya bergelar isteri kepada Aliff, lebih-lebih lagi apabila ayah saya sendiri yang menikahkan saya,” katanya.

 

Majlis dihadiri oleh keluarga kedua-dua belah pihak termasuk rakan-rakan artis terdekat.

 

Antara rakan artis yang hadir dan turut menjadi gadis pengangkat dulang ialah Marsha Milan, Anzalna Nasir, Elfira Loy, Siti Saleha, Sherry Al Hadad, Nabila Huda, Liza Abdul, Nad Zainal dan Tasha Shila.

 

Pasangan ini bertunang pada 25 Oktober 2014 di kediamannya di Taman Melawati, dekat sini.

 

Mereka akan diraikan dalam sebuah majlis resepsi pada 4 April di sebuah dewan di Kementerian Pertahanan (MINDEF). – Mstar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.