Rapid Rail Bimbang Kerencatan Sistem Brek LRT Aliran Kelana Jaya

KUALA LUMPUR – Rapid Rail Sdn Bhd bimbang mengenai masalah kerencatan pada sistem brek bagi tren empat koc yang belum diatasi kerana satu lagi tren mengalami gangguan perkhidmatan kelmarin, menyebabkan beribu-ribu pengguna terkandas semasa waktu puncak.

 

Rapid Rail, operator perkhidmatan LRT Rapidkl Laluan Kelana Jaya berkata, insiden pada Jumaat di Stesen Ampang Park pada jam 6.20 petang ialah yang keempat membabitkan sistem brek tren empat koc dengan insiden sebelumnya berlaku pada 11 dan 25 Februari, dan pada 18 Mac lepas.

 

“Kegagalan (di Ampang Park, semalam) menyebabkan perkhidmatan terganggu selama kira-kira tiga jam apabila hanya satu landasan dapat digunakan bagi perkhidmatan antara Pasar Seni dan Stesen Damai,” kata Rapid Rail dalam satu kenyataan, semalam.

 

Ia berkata, kerencatan sistem brek bagi kereta api empat koc itu masih gagal diatasi oleh pengeluar tren, Bombadier dan pembekal sistem brek, Knorr-Bremse.

 

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Rail, Ahmad Nizam Mohd Amin bagaimanapun memberi jaminan bahawa keselamatan penumpang tetap menjadi keutamaan.

 

Beliau berkata, masalah itu tidak memberi kesan kepada keselamatan pengguna kerana sistem brek Aliran Kelana Jaya adalah dijamin selamat dan tren tidak akan bergerak jika sistem brek gagal berfungsi.

 

“Bagaimanapun, kerencatan itu memberi kesan kepada kebolehsediaan tren empat koc itu, menyebabkan kapasiti tren berkurangan terutama pada waktu puncak. Ini, seterusnya akan menyebabkan masa menunggu lebih lama bagi penumpang.

 

“Penggera awal tidak selalu berfungsi tetapi jika ia berfungsi, kami akan menghentikan perkhidmatan untuk mengelakkan kejadian tidak diingini. Kami memohon maaf atas sebarang kesulitan yang dialami oleh pelanggan kami,” kata Ahmad Nizam.

 

Rapid Rail, Bombardier dan Knorr-Bremse sedang menjalankan siasatan mengenai insiden. – BERNAMA/BHARIAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.