Nahas Pesawat Germanwing: Andreas Lubitz Tidak Layak Terbangkan Pesawat

DUESSELDORF – Pihak berkuasa Jerman semalam me­nemukan enam nota kesihatan yang telah dikoyakkan, menunjukkan pembantu juruterbang Germanwings 4U 9525, Andreas Lubitz yang didakwa sengaja menyebabkan pesawat itu terhempas, menghidap sejenis penyakit yang tidak melayakkannya melakukan penerbangan pada hari nahas berlaku.

 

Pegawai pendakwa raya Perancis percaya, Lubitz, 28, mengunci dirinya sendirian di dalam kokpit pesawat Airbus A320 tersebut pada Selasa lalu dan sengaja menjunamkan pesawat ke Banjaran Alps, membunuh kesemua 150 penumpang.

 

“Dokumen itu menunjukkan kewujudan penyakit sedia ada dan Lubitz mendapat rawatan daripada doktor,’’ kata pejabat pendakwa raya di Duesseldorf, yang merupakan kawasan tempat tinggal Lubitz dan destinasi pesawat itu sebelum terhempas.

 

Nota doktor yang dikoyakkan itu ditemukan di rumah Lubitz dan boleh menjadi surat pelepasan kepadanya daripada bertugas atas sebab kesihatan.

 

Penemuan itu menyokong andaian bahawa Lubitz menyembunyikan penyakitnya daripada majikan dan rakan-rakannya, kata pendakwa raya.

 

Sementara itu, akhbar harian Jerman, Bild melaporkan, Lubitz pernah memberitahu bekas teman wanitanya pada tahun lalu bahawa dia menjalani rawatan psikiatri dan sedang merancang sesuatu yang akan diingati ramai.

 

“Semasa saya dengar tentang nahas itu, saya teringat apa yang dikatakannya.

 

“Lubitz memberitahu, satu hari nanti dia akan melakukan sesuatu yang akan menyebabkan orang mengetahui namanya serta mengingatinya,’’ kata wanita bernama Maria W itu yang bertugas sebagai pramugari.

 

Maria menjelaskan, dia tidak mengetahui apa yang dimaksudkan Lubitz pada ketika itu. – REUTERS/UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.