Nahas Germanwings: Ubat Sakit Mental Ditemui Di Rumah Pembantu Juruterbang?

BERLIN – Polis Jerman telah menemui bukti rawatan perubatan penyakit psikologi di rumah pembantu juruterbang Germanwings, Andreas Lubitz.

 

Penyiasat membuat penemuan itu ketika menggeledah rumah Lubitz di Dusseldorf dan merampas beberapa “ubat-ubatan untuk rawatan penyakit psikologi.”

 

“Juruterbang berusia 27 tahun itu telah dirawat oleh beberapa pakar neurologi dan psikiatri,” lapor akhbar mingguan Welt am Sonntag yang memetik kata seorang penyiasat berpangkat tinggi yang tidak mahu dikenali.

 

Laporan itu berkata tiada bukti yang Lubitz menghidap ketagihan dadah atau alkohol.

 

Ia menambah bahawa pembantu juruterbang Germanwings itu menderita akibat terlalu tertekan dan mengalami kemurungan teruk, menurut nota peribadi yang ditemui.

 

Namun, penyiasat Perancis dan Jerman enggan mengesahkan atau menafikan laporan itu.

 

Pendakwa raya Jerman percaya Lubitz menyembunyikan penyakit yang dihidapi daripada majikannya.

 

Dia juga dipercayai telah mengoyakkan surat cuti sakit yang diperolehnya pada awal hari kejadian.

 

Lubitz disyaki dengan sengaja menyebabkan pesawat tambang murah Germanwings Airbus 320 terhempas di banjaran Alps Perancis yang meragut nyawa 150 penumpang dan kru. – Awani

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.