Malaysia Tiada Pilihan Kecuali Menang!

MALAYSIA tidak ada pilihan lagi selain perlu mengumpul mata penuh ke atas Macau dalam perlawanan kedua Kelayakan AFC Bawah 23 di Stadium Shah Alam petang ini.

 

Selepas mempamerkan aksi hambar tewas 1-2 pada pertemuan pembukaan kelmarin, tiada lagi alasan untuk seri atau kalah buat Skuad B-22 negara kendalian Razip Ismail itu.

 

Walaupun mengakui moral anak buahnya kini terjejas, namun bagi Razip, mereka harus segera mempamerkan kebangkitan atau berisiko menutup kempen dengan menghuni tangga tercorot Kumpulan I.

 

“Kita tiada pilihan, apa keadaan sekali pun kalau mahu hidupkan peluang, kita perlu tewaskan Macau.

 

“Saya akui pemain tak berada dalam keadaan gembira dan saya percaya pemain sukar untuk menerima keputusan semalam (kelmarin).

 

“Tapi saya ingatkan kepada mereka, kita perlu bangkit walau berada dalam keadaan sukar sekali pun. Mungkin keadaan sukar itu adalah jalan terbaik kita nanti, siapa tahu.

 

“Oleh itu,  walaupun kecewa, kita kena teruskan perjuangan dan saya masih harapkan dua perlawanan akan datang pemain akan tunjuk prestasi lebih baik dari sebelum ini,” katanya ketika ditemui selepas sesi latihan semalam.

 

Mengulas mengenai peluang Malaysia untuk menang besar ke atas Macau, pengendali berusia 52 tahun itu mengakui mereka mampu melakukannya, namun pada masa sama mengingatkan pemain agar turut berwaspada.

 

“Memang nampak mudah, tapi dalam keadaan tertekan sekarang ini, macam-macam boleh berlaku. Kita akan berusaha jaringkan gol sebanyak mana yang boleh, tapi saya yakin Macau tak akan biarkan gawang mereka dibolosi selepas diaibkan Jepun tempoh hari.

 

“Apa yang penting sekarang adalah pulang dengan kemenangan, itu yang perlu difikirkan sekarang,” katanya yang belum memutuskan lagi siapa yang bakal diturunkan dalam kesebelasan utama hari ini.

 

“Yang pasti saya akan lakukan rombakan memandangkan ada dua tiga pemain yang cedera. Saya juga mahu pertemuan terakhir dengan Jepun nanti, kita akan ada pemain yang cergas,” katanya. – Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.