#Kitalawan: Polis Serbu Pejabat PKR

Shah Alam – Polis menyerbu Ibu Pejabat PKR, sebentar tadi, bagi memperoleh bahan-bahan berkaitan perhimpunan #Kitalawan.

 

“Enam anggota polis sedang menyerbu pejabat Setiausaha Agung KEADILAN. Bersama mereka ialah YB Rafizi Ramli, Setiausaha Agung merangkap Naib Presiden KEADILAN.

 

“Difahamkan mereka mahu mengambil bahan-bahan berkaitan himpunan #KitaLawan. Peguam yang bersama YB Rafizi ialah YB Manivanan Gowin,” demikian menurut kenyataan parti berkenaan.

 

Sementara itu, portal The Malaysian Insider yang memetik kenyataan Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil berkata, polis memecahkan pintu bilik Rafizi di ibu pejabat parti untuk merampas empat buah komputer, satu surat pekeliling dan kenyataan media berkait himpunan #KitaLawan.

 

Manakala Ketua Perundangan PKR Latheefa Koya berkata polis di ibu pejabat PKR itu untuk mendapatkan salinan pekeliling yang dikeluarkan Rafizi kepada ahli-ahli parti untuk menghadiri perhimpunan #KitaLawan semalam.

 

Rafizi yang juga Ahli Parlimen Pandan ditahan reman Jumaat lalu di pusat khidmatnya di Kuala Lumpur.

 

Beliau ditahan di bawah Akta Hasutan berhubung satu kenyataan dikeluarkannya yang menyeru kehadiran ramai di perhimpunan #KitaLawan semalam.

 

Beliau direman selama tiga hari, bersama seorang lagi pemimpin parti itu, Tian Chua.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.