Hudud: ADUN PKR Dikecam Kerana Sokong Hadi

PULAU PINANG – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penanti, Dr. Norlela Ariffin mula menerima tekanan susulan sokongannya terhadap Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Rang Undang-undang Kanun Jenayah Syariah II 1993 (Pindaan 2015).

 

Melalui laman sosial Facebook, seorang lelaki mencadangkan supaya beliau melepaskan semua jawatan yang disandangnya dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR) serta syarikat berkaitan Kerajaan DAP Pulau Pinang.

 

Lelaki itu berkata, sekiranya Norlela benar-benar mahu menjadi wirawati kerana mempertahankan Abdul Hadi, beliau harus melepaskan semua jawatan yang disandangnya.

 

Sementara itu, Norlela ketika dihubungi Utusan Malaysia berkata, cadangan itu tidak berasas kerana beliau tidak dibayar gaji walaupun memegang jawatan Pengarah Lembaga Pembangunan Wanita negeri.

 

“Saya memegang jawatan itu secara sukarela sejak sebelum menjadi ADUN lagi dan tidak ada gaji atau elaun yang dibayar walaupun bayaran tempat meletak kereta,” katanya.

 

Norlela sebelum ini menyuarakan sokongan kepada Abdul Hadi melalui Facebooknya kerana berpendapat Ahli Parlimen Marang itu telah teraniaya.

 

Katanya, sejak menyatakan sokongan kepada Abdul Hadi, terdapat segelintir ahli PKR yang menyarankannya supaya meletak jawatan.

 

“Walau bagaimanapun, tiada desakan supaya saya meletakkan jawatan diterima daripada pemimpin tertinggi parti walaupun ada yang menghubungi saya meminta penjelasan. Saya masih bertugas seperti biasa,” katanya. – UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.