DAP Mahu PAS Keluar Pakatan – Tuan Ibrahim

TEMERLOH – Pas Pahang menyifatkan tindakan DAP memutuskan hubungan dengan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebagai sebahagian usaha parti itu untuk mengeluarkan Pas daripada pakatan pembangkang.

 

Pesuruhjaya Pas Pahang, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, keputusan yang dibuat itu melucukan dan hanya menjatuhkan wibawa DAP sebagai parti politik yang sudah matang.

 

Sehubungan itu katanya, Pas Pahang sebulat suara membuat keputusan untuk berdiri teguh bersama-sama Abdul Hadi serta menyokong keputusan kerajaan negeri Kelantan dalam isu Rang Undang-­Undang Kanun Jenayah Syariah II 1993 (pindaan 2015).

 

“Tuduhan bahawa Presiden Pas mengkhianati rakan dalam pakatan pembangkang bersabit isu hudud dan beberapa serangan terhadap peribadi beliau adalah tidak berasas dan melampau. Kepemimpinan DAP harus sedar bahawa hubungan politik di dalam pakatan pembangkang adalah hubungan antara entiti parti dengan parti, bukan hubungan parti dengan individu tertentu sahaja dalam parti.

 

“Jadi jika mereka memutuskan hubungan dengan Presiden Pas bermaksud mereka memutuskan hubungan dengan Pas keseluruhannya,” katanya dalam sidang akhbar selepas Mesyuarat Pas Pahang di Pejabat Perhubungan Pas Pahang di sini hari ini.

 

Tuan Ibrahim yang juga Naib Presiden Pas berkata, keputusan yang dilakukan DAP itu amat dikesali oleh semua ahli Pas Pahang yang sentiasa memberi sokongan padu kepada Abdul Hadi sebagai pemimpin tertinggi parti serta pelaksanaan hukum hudud.

 

Justeru katanya, Pas Pahang menggesa tuduhan dan penghinaan DAP terhadap Presiden Pas itu ditarik balik dengan segera kerana tuduhan itu amat tidak wajar.

 

Selain itu katanya, DAP juga harus menghormati hak Pas dan umat Islam untuk mengamalkan ajaran agama Islam secara menyeluruh seperti termaktub dalam Perlembagaan Malaysia.

 

Mengulas tentang masa depan Pas bersama pakatan pembangkang, beliau yang juga Naib Presiden Pas berkata, parti itu belum membuat keputusan untuk keluar daripada pakatan berkenaan setakat ini.

 

“Pas menyambut baik sebarang usaha untuk mengukuhkan pakatan pembangkang tetapi dalam masa sama prinsip dan dasar Pas tetap akan terus dipertahankan,” katanya. – UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.