DAP Ada Rancangan Taja Pemimpin PAS Lawan Abdul Hadi?

KUALA LUMPUR – Pas Wilayah Persekutuan mendakwa DAP seolah-olah mempunyai rancangan menaja mana-mana pimpinan Pas untuk menjadi Presiden Pas.

 

Hal itu susulan kenyataan DAP baru-baru ini yang memutuskan hubungan dengan pemimpin nombor satu Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang namun mengekalkan ‘persahabatan’ dengan Pas.

 

Pesuruhjaya Pas Wilayah Persekutuan, Mohamad Noor Mohamad berkata, sekiranya dakwaan itu benar, ia amat tidak wajar berlaku.

 

“Kita melihat kenyataan itu semacam DAP ada rancangan untuk menaja mana-mana pimpinan parti untuk menjadi Presiden Pas.

 

“Saya rasa ini tidak wajar. Tidak boleh sama sekali campur tangan orang lain dalam parti,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

 

Semalam, Abdul Hadi dalam satu sidang media berkata, ahli Pas yang menentukan kedudukannya dalam kepimpinan ekoran setiap ahli Pas mempunyai pendirian masing-masing.

 

Beliau turut menegaskan bahawa orang luar tidak sepatutnya mencampuri urusan pentadbiran Pas.

 

Sementara itu, Mohamad turut menyuarakan sokongan tidak berbelah bahagi terhadap Abdul Hadi malah pihaknya menolak sebarang usaha untuk mengganti Abdul Hadi dengan pemimpin lain.

 

“Wilayah Persekutuan sokong sepenuhnya kepimpinan Tuan Guru dan menolak mana-mana usaha untuk menukar Presiden dengan orang lain.

 

“Usaha ini tidak akan berjaya dalam pemilihan Pas di Muktamar Pas akan datang,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.