PM Adakan Lawatan Kerja Ke Arab Saudi Bermula Hari Ini

Kuala Lumpur – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak akan mengadakan lawatan kerja empat hari ke Arab Saudi mulai hari ini.

 

Kementerian Luar melalui satu kenyataan yang diedarkan hari ini berkata Perdana Menteri dijadual menyampaikan ucap utama dalam Forum Ekonomi Jeddah (JEF) yang menghimpunkan pemimpin serta ahli ekonomi dan perniagaan seluruh dunia bagi membincangkan isu-isu global.

 

Najib turut dijadual mengadap Raja Salman Abdulaziz Al-Saud, Putera Mahkota Mohammad Naif Al-Saud dan Timbalan Putera Mahkota Mohammed Bin Salman Al-Saud.

 

“Majlis-majlis tersebut akan memberikan peluang kepada kedua-kedua pemimpin untuk membincangkan isu-isu hubungan dua hala, serantau dan antarabangsa.

 

“Lawatan kerja perdana menteri ini akan menjadi penanda aras hubungan dua hala yang erat antara Malaysia dan Arab Saudi.

“Ia akan menjadi pemangkin kepada usaha-usaha untuk meningkat dan mengukuhkan hubungan dua hala antara kedua-dua buah negara yang telah sedia terjalin,” ,” memetik kenyatan tersebut.

 

Perdana menteri juga dijadualkan untuk melawat pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang kini ditempatkan di Hafar Al Batin.

 

Najib turut diiringi oleh isterinya Rosmah Mansor, Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein, dan dua Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan Abdul Wahid Omar.

 

Malaysia dan Arab Saudi mempunyai hubungan akrab khususnya dari aspek politik, ekonomi, pertahanan dan hal ehwal haji.

 

Arab Saudi salah satu rakan dagang terbesar Malaysia di Timur Tengah.

 

Jumlah dagangan dua hala bagi tahun 2015 bernilai RM10.95 bilion dengan import sebanyak RM7.53 bilion dan eksport sebanyak RM3.42 bilion. – SuaraTV

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.