Persepsi buruk menanti Muhyiddin kalau keluar Umno

SHAH ALAM – Meskipun diketepi dalam parti, Tan Sri Muhyiddin tidak akan sesekali mengundur diri dari Umno dan menyertai parti lain, jangka penganalisis politik, Dr Shamsinoor Abdul Azzis.

 

Ini kerana Timbalan Presiden Umno itu mempunyai semangat dan kesetiaan yang tinggi kepada parti keramat itu.

 

“Secara peribadi, saya tidak rasa yang Muhyiddin akan melangkah keluar parti. Itu akan mengundang persepsi tidak baik kepada beliau. Kalau beliau undur (daripada Umno) mungkin rakyat dan penyokong akan melihat beliau sebagai pemimpin yang lemah.

 

“Bagaimanapun sekiranya beliau disingkir (daripada Umno), ia akan mengundang simpati daripada ramai pihak, sekaligus menguatkan sokongan terhadapnya,” katanya ketika dihubungi Sinar Online.

 
Pensyarah Kanan Universiti Selangor (Unisel) itu juga turut berpendapat yang Muhyiddin bakal kesukaran dalam menentang Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak memandangkan pemimpin itu mempunyai barisan penyokong yang setia kepada pemimpin itu.

 

“Sebelum beliau (Muhyiddin) digantung pun beliau sudah ada sokongan daripada akar umbi. Sekarang pun banyak menunjukkan orang Umno menyokong beliau.

 

“Bagaimanapun, Najib akan tetap kekal kerana yang menyokongnya bukan hanya ahli biasa, sebaliknya orang yang mempunyai kepentingan. Najib hanya boleh diturunkan sekiranya ahli Umno yang berjuta ini menunjukkan kesungguhan untuk menggantikan Najib,” katanya. -Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.