Pereka Dakwa Berjaya Jual Dua Juta Helai ‘Jubah Pahlawan’

Kuala Lumpur – Kecaman dan perli di media sosial tidak selalunya negatif. “Jubah Pahlawan” mendapat sambutan hangat, sehingga terjual dua juta helai, kata perekanya Syubaili Aziz.

 

Fesyen jubah ketat berlengan pendek dengan warna yang menonjol, digaya pula oleh model-model lelaki berbadan sasa, menjadi sasaran kutukan orang ramai.

 

“Saya telah menjual dua juta helai,” kata Syubaili, pengasas Farbel Exclusive, kepada Malay Mail Online. “Ia menjadi viral dalam tempoh beberapa hari saja, sejak Jumaat.”

 

Beliau berkata kebanyakan pesanan untuk mencuba jubahnya, yang dijual dengan harga RM225, datang dari Brunei, Thailand, Singapura, Taiwan dan Arab Saudi.

 

Dengan warna-warna hijau terang, merah jambu, biru muda dan hijau, gayaan “abang-abang sado” menyerlahkan lagi rekaan Syubaili ini bersama isterinya.

 

Jubah ini mula menarik perhatian ramai apabila Rizal Hakimm memuatkan foto-foto model menggayakannya, bersama harga potongan RM199.

 

Bersama foto-foto tersebut, pengguna Facebook itu mencoret “jubah pahlawan, jubah sado” pada 26 Februari lalu.

 

Kini tulisannya dikongsikan hampir 18,500 orang, suatu jumlah perkongsian yang besar bagi seseorang pengguna Facebook.

 

Sejak itu, coretan tersebut menarik perhatian media. Portal Astro Awani melaporkan “rekaan moden inspirasi Jepun” mendapat pelbagai reaksi negatif.

 

“Rata-rata pengguna media sosial mengkritik rekaan jubah tersebut dengan menyifatkan ia berkelihatan ‘pelik’.

 

“Antara komen yang ditujukan ialah jubah tersebut kelihatan sebagai pakaian ibu bersalin, sebagai jubah golongan wanita dan jubah pakar perubatan,” lapor portal itu lagi.

 

“Ada juga menjadikan ia sebagai satu bahan jenaka di media sosial.”

 

Ketika dihubungi Malay Mail Online, Syubaili berkata 80 peratus jualan datang daripada peniaga-peniaga.

 

Beliau juga mendakwa orang kenamaan, termasuk yang bergelar Tan Sri, antara pelanggannya.

 

Usahawan itu berkata “jubah pahlawan” turut diminati golongan bukan Islam yang menggayakan pakaian itu untuk menyertai sambutan perayaan rakan Islam.

 

“Sebenarnya, produk yang kami jual tidaklah ketat; jubah itu longgar sahaja,” kata Syubaili. “Saya tidak sangka jubah itu jadi ketat pula [(apabila dipakai modelnya).”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.