PAS Tidak Mahu Rampas Kuasa Umno-BN Kata Hadi Awang

Marang – PAS bukan parti yang kemaruk kuasa sehingga mahu merampas tampuk pemerintahan negara daripada Umno-Barisan Nasional (BN), kata Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

 

Ahli Parlimen Marang itu yang dipetik Utusan Malaysia juga berkata, parti pimpinannya bersedia menjadi pendokong kepada Umno sekiranya parti itu menjalankan pentadbiran berasaskan Islam.

 

“Macam mana kita nak cari pemerintahan begini iaitu balik kepada Islam. Justeru, PAS mengajak kembali kepada Islam khususnya orang Melayu, tidak kira PAS atau Umno dan PAS tak tamak kuasa.

 

“Kalau Umno kembali pada Islam laksanakan Islam mengikut hidayah Allah, bukan kerana Islam untuk dapatkan sokongan rakyat kerana serta benar-benar ikhlas kerana Allah.

 

“Kita akan dokong agar Islam ditegakkan. PAS tak berebut jawatan atau kuasa. Apa yang PAS mahu hanya Islam ditegakkan,” katanya dipetik akhbar berkenaan.

 

Kenyataan Hadi kebelakangan ini dilihat lebih cenderung ‘berpihak’ kepada Umno, sekaligus mengundang rasa kurang senang rakan politiknya, PKR.

 

Terdahulu Hadi dilaporkan berkata enggan menyertai perhimpunan anti-Najib yang dijadualkan pada penghujung Mac depan.

 

Kenyataan Hadi itu menyebabkan Setiausaha Agung PKR, Rafizi Ramli ‘menasihati’ ulama berkenaan agar tidak mengeluarkan kenyataan mengelirukan seolah-olah parti Islam itu menyokong skandal yang membelenggu Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.