Beri Najib Masa Untuk Tunai Janji – Adenan

Rakyat negeri Sarawak diseru memberikan masa dan peluang kepada perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak untuk menunaikan segala janjinya kepada negeri itu.

 

Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Dr Adenan Satem berkata demkian kerana percaya Najib sebagai seorang pemimpin yang memiliki hati yang amat besar dan sememangnya komited untuk membawa pembangunan kepada negeri serta rakyat Sarawak.

 

“Banyak lagi kekurangan kita di Sarawak tetapi dengan adanya perdana menteri begini kita tidak khuatir. Kelemahan kita akan menjadi kuat di hari kemudian.

 

“Apa yang kita kurang akan dipenuhi di masa depan. Berilah beliau masa menunaikan apa yang beliau janjikan untuk negeri Sarawak,” katanya pada perasmian Majlis Rumah Terbuka Malaysia Tahun Baharu Cina 2016 oleh Najib di Dataran Bandar Sibu, semalam, lapor Astro Awani.

 

Bukan itu sahaja, Adenan yang menggelar Najib sebagai ‘Apai Besai’ (Ayah Besar) turut meminta bantuan beliau menyelesaikan masalah perparitan yang menjadi punca banjir di negeri itu.

 

“Macam macam usaha kerajaan. We must have more. Minta tolong Kerajaan Pusat menyelesaikan masalah peparitan kita di negeri Sarawak,” katanya lagi.

 

Dengan kadar hujan yang lebih banyak kali ini berbanding tahun lepas, katanya keadaan tanah rendah dan sistem perparitan yang tidak mencukupi menyebabkan berlakunya banjir seperti di kawasan Kuching.

 

Najib dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor kemudiannya bersama-sama Adenan dan isteri Puan Sri Jamilah Anu, Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz dan Menteri Kerajaan Tempatan dan Pembangunan Komuniti Datuk Seri Wong Soon Koh menyertai acara menggaul ‘Yee Sang’.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.