101 Hari Diburu, Ustaz Kasanova Akhirnya Berjaya Ditahan

AMPANG — Seorang lelaki, digelar “ustaz kasanova”, yang diburu Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) sejak lebih tiga bulan akhirnya berjaya diberkas.

 

Mohd Razis Ismail, 34, dilaporkan sering berjaya meloloskan diri, termasuk sewaktu ke Penjara Kajang untuk mengambil “isterinya” yang dibebaskan daripada kesalahan bersekedudukan.

 

Setelah dicari selama 101 hari, polis membantu Jawi menjejak lokasinya dengan sistem pengesanan telefon bimbit, lapor akhbar Harian Metro hari ini.

 

Pasukan Cawangan Khas (SB) Bukit Aman dan ibu pejabat polis daerah Ampang Jaya juga dikerahkan untuk menangkap lelaki bermulut manis ini.

 

Mohd Razis ditahan jam 3.35 petang semalam di Pandan Indah di sini ketika mahu keluar membeli barang keperluan untuk “isterinya”, kata ketua penolong pengarah Bahagian Penguatkuasaan Jawi.

 

“Dia ditahan ketika mahu keluar membeli barang keperluan untuk ‘isterinya’ yang tinggal di flat berhampiran lokasi tangkapan, langsung tidak ada perasaan bersalah, malah sempat ucap ‘terima kasih, tuan’ kepada pegawai bertugas,” kata Wan Jaapar Wan Ahmad seperti dilapor.

 

Lelaki itu dihadapkan ke Mahkamah Syariah Kuala Lumpur hari ini selepas melakukan pelbagai kesalahan jenayah dan syariah, antaranya bersekedudukan sehingga pasangan melahirkan anak luar nikah, mengabaikan nafkah dan nikah cerai yang tidak didaftarkan.

 

Wan Jaapar juga berkata lelaki itu juga melakukan kesalahan menghina Islam apabila berkahwin lebih daripada yang dibenarkan menurut Seksyen 7 Akta Kesalahan Jenayah Syariah 1997.

 

“Antara kesalahan lain dilakukan lelaki buruan berkenaan seperti penipuan dokumentasi kepada pihak berkuasa apabila mengaku bujang dan mengaku sebagai pegawai Kementerian Dalam Negeri (KDN) ketika mahu berkahwin dengan seorang pelajar kolej,” katanya lagi.

 

“Apa yang kita tahu dia mempunyai 13 isteri termasuk warga Kemboja dan Thailand. Mengikut rekod, dia juga pernah berkahwin hanya dalam masa seminggu saja seperti berlaku kepada mangsa di Kedah.” – MalayMail

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.