Fenomena lagu Peluang Kedua nyanyian asal Nabila Razali sememangnya cukup luar biasa. Boleh dikatakan, karya ciptaan Hael Husaini itu begitu berhantu dan diminati pelbagai lapisan masyarakat.
Justeru, kumpulan Bahiyya Haneesa atau Haneesa membuat percaturan memberi nafas baharu untuk lagu Peluang Kedua ini. Semestinya mahu tampil dengan kelainan, Haneesa tetap menjadikan kekuatan elemen harmoni dalam nyanyian mereka sebagai nyawa untuk lagu ini.
Hakikatnya, identiti itulah yang membezakan kumpulan ini dengan penyanyi lain. Justeru, tidak timbul isu tiru-meniru setiap kali menyanyikan lagu penyanyi lain. Namun begitu, Haneesa masih mengekalkan melodi asal lagu ini tanpa melakukan gubahan berlebihan.
Ini disebabkan, lagu Peluang Kedua itu sendiri dianggap sudah cukup indah dan hanya memerlukan gubahan yang tersendiri mengikut identiti nyanyian mereka. Mengambil versi Peluang Kedua yang menampilkan MK K-Clique, elemen rap tentu lebih menghidupkan lagu ini.
Menurut anggota Haneesa, tiada sebab lain mereka memilih lagu ini untuk dinyanyikan semula selain daripada sambutan luar biasa terhadapnya. Namun begitu, mereka tidak ambil remeh proses rakamannya dan berusaha menghasilkan susunan muzik lebih segar.
“Kami pilih lagu ini sebab sekarang memang tengah popular dan boleh dikatakan budak kecil pun hafal. Jadi kami gunakan kelebihan ini untuk berikan semua pendengar sedikit kelainan. Mereka (pendengar) boleh nyanyi dengan melakukan harmoni sekali dan bukan semata-mata menyanyikan liriknya sahaja.
“Apa yang menariknya daripada segi pembikinan Peluang Kedua versi acapella ini adalah kami bertungkus-lumus bersama penerbit iaitu Kelana untuk menghasilkan susunan semula muziknya. Tidak ketinggalan, kami bekerja keras untuk menetapkan bahagian harmoni, ‘beatbox’ serta rap,” kata mereka.

Apapun, paling penting adalah Haneesa cukup seronok dengan hasil akhir versi baharu itu. Kepuasan itulah dicari, apalagi mereka sentiasa seronok bereksperimen terhadap karya orang lain. Mereka cuma mengharapkan versi itu berjaya memikat halwa telinga pendengar.
“Kami sangat gembira apabila semua ahli Haneesa dapat menyanyikan lagu ini dengan gaya tersendiri. Justeru, setiap bahagian adalah kegemaran kami. Ia kerana semua bahagian diberikan suntikan terperinci dan sangat istimewa dalam cara yang tersendiri. Yang pasti, kami berikan sepenuh hati dalam bahagian masing-masing.
“Kami akur dan tahu genre acapella masih terlalu kurang mesra atau boleh dikatakan asing di telinga pendengar Malaysia. Namun, pastinya ada pengikut serta penggemar untuk genre sebegini. Jadi, kami harap mereka yang berminat itu suka dengan lagu yang diberikan nafas baharu ini dan seronok dengan kelainan kami tampilkan,” kata Haneesa.
Kumpulan acapella serba berbakat ini dianggotai Wafa Amira (Wafa), Waheeda Batrisyia (Bon), Nurul Amaninah (Nina), Nor Suhaida (Suha), Nor Afiqah (Afi), Nur Fatin (Fatin), Saidatul Syahirah (Syasya) dan Siti Nabilah (Bella).
Mulanya tampil sebagai kumpulan nasyid, mereka kini semakin terbuka mencuba muzik yang lebih versatil dan pelbagai, termasuk pop serta rap. Mereka juga aktif membuat ‘cover version’ beberapa lagu popular
Ia termasuk lagu Solo nyanyi Jennie BLACKPINK, Lily (Alan Walker), On My Way dan Kill This Love (BLACKPINK). Jumlah tontonan video-video mereka juga sudah mencecah lebih 11 juta di YouTube.
Karya lagu Peluang Kedua (2021) boleh dinikmati menerusi semua platform penstriman muzik terpilih, antaranya Apple Music, Deezer, JOOX, KKBox, Spotify, Youtube dan Youtube Music.
Harian Metro