KUALA LUMPUR: Mendendangkan single Putus dengan sepenuh jiwa bukan mudah buat penyanyi, Vanessa Reynauld, 20, apatah lagi karya berkenaan menjadi lagu runut bunyi drama rantaian yang hangat diperkatakan, Takdir Yang Tertulis.
Bagi Vanessa, karya ciptaan Farouk Roman dan lirik ditulis oleh Amylea Azizan bukanlah kisah yang diangkat menerusi pengalaman cintanya.
“Saya hanya dipertanggungjawab untuk menyanyikan sahaja, saya tidak terbabit dalam proses pembikinannya. Single Putus ini sudah siap terlebih dahulu sebelum diberikan kepada saya. Saya dengar, belajar melodi dan rakam lagu. Proses rakaman mengambil masa selama dua hari.
“Saya cuma belajar plot cerita dalam lagu ini. Saya menyampaikannya dengan pengalaman yang pernah saya lihat menerusi perhubungan orang lain. Saya tak pernah melalui pengalaman sebegini, tetapi ia bukanlah penghalang untuk saya menyampaikan dengan baik,” katanya.
Dalam pada itu, Vanessa yang mula dikenali menerusi program The Masked Singer Malaysia itu tidak menafikan, berdepan cabaran untuk mempersembahkan lagu berkenaan.

Akuinya, bahagian paling susah dalam single Putus tentu membabitkan penghayatan sepenuh jiwa.
“Lagu itu membawa maksud yang sangat berat, mungkin sebab saya tidak pernah mengalami kisah cinta sebegini.
“Saya hanya dapat salurkan kesedihan menerusi pengalaman melihat hubungan orang terdekat. Agak mencabar juga memandangkan bukan pengalaman sendiri. Memang susah untuk saya memberi rentak emosi yang tepat, namun saya tetap berusaha menyanyikan single Putus sebaiknya,” katanya.
Kongsi penyanyi kelahiran Klang, Selangor ini, single Putus berkisarkan pasangan bercinta yang menempuh onak dan duri dalam hubungan.
“Ia menceritakan hubungan yang sudah tawar dan sangat toksik. Ia disebabkan sebelah pihak melakukan sesuatu perkara yang menyebabkan mereka tidak boleh bersama, meskipun masih saling mencintai.
“Apa yang saya dapat belajar menerusi single Putus adalah sekiranya terperangkap dalam hubungan toksik, jangan teruskan. Ia hanya menambah derita semata-mata kerana percaya masih sayangkan perhubungan dan tidak mungkin bertemu yang lebih baik. Tinggalkan sahaja kerana kita berhak mendapat seseorang yang jauh lebih menghargai,” katanya.
Single Putus adalah lagu runut bunyi untuk drama Takdir Yang Tertulis arahan pengarah, Shahrulezad Mohameddin.
Drama dibintangi Nazim Othman, Nad Zainal, Elvina Mohamad, dan Alvin Chong itu mengisi slot Samarinda TV3 sejak pada 21 Januari lalu.
Sebelum ini, Vanessa mula meraih perhatian apabila mewakili Malaysia dalam pertandingan Water Cube Cup Worldwide Chinese Singing Competition di Beijing, China. Vanessa dinobatkan sebagai naib juara.
Berita Harian