Koronavirus: Masjid Putra Dibuka Semula Kepada Pelancong Asing Lepas Ditegur PM

PUTRAJAYA – Masjid Putra di Putrajaya yang sejak Ahad lalu hanya dibuka untuk orang Islam solat namun ditutup kepada lawatan pelancong asing berikutan kebimbangan terhadap jangkitan koronavirus novel 2019 (nCov), telah dibuka semula jam 2 petang tadi untuk kunjungan pelancong.

Memetik laporan Bernama, jurucakap pengurusan masjid itu berkata, para petugas masjid akan mengamalkan garis panduan yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan sebagai langkah keselamatan terhadap jangkitan koronavirus.

“Sebelum ini, Masjid Putra ditutup kepada lawatan berikutan ada kebimbangan terhadap keselamatan petugas masjid memandangkan kita menerima ramai pengunjung asing setiap hari.

“Bermula hari ini, petugas akan ikut nasihat Kementerian Kesihatan seperti memakai penutup hidung dan mulut serta menggunakan pembersih tangan (hand sanitizer),” katanya.

Terdahulu, selain Masjid Putra, beberapa masjid lain yang sering menjadi tumpuan pelancong asing termasuk Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin serta Masjid Wilayah Persekutuan di Kuala Lumpur dilaporkan ditutup untuk lawatan pelancong asing kerana kebimbangan jangkitan koronavirus dan hanya dibuka untuk menunaikan solat sahaja.

Tindakan pengurusan masjid berkenaan bagaimanapun semalam mengundang reaksi kurang senang daripada Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohamaddin Ketapi yang mempertikaikan penutupan masjid-masjid itu kepada pelancong asing.

“Ia tindakan salah. Bagaimana kamu boleh cakap ia untuk pencegahan (penyebaran koronavirus) sedangkan mereka (pelancong) sihat,” katanya, dipetik dari laporan Sinar Harian, semalam.

Dalam sidang media khas jam 1 tengahari tadi pula, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad melahirkan rasa kesal dan menegur penutupan masjid untuk lawatan pelancong asing itu yang disifatkannya sebagai tindakan yang tidak bertanggungjawab.

“Di masa yang sama kita dapati siaran tidak bertanggungjawab, kononnya pelawat ke Malaysia yang bukan Islam tidak boleh ke masjid kerana takut berjangkit. Ini bukan dasar kerajaan.

“Kerajaan tak isytihar bahawa masjid atau muzium tidak boleh dilawati oleh pelancong kerana mungkin mereka menghidap (koronavirus).

“Ini bukan dasar kerajaan. Tidak ada tempat yang tidak boleh dilawati oleh pelancong. Ini satu perbuatan tak bertanggungjawab,” katanya, dipetik dari laporan Malaysiakini dan FMT. – SuaraTV

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Open

Close