Tutup Satu Tol, Turunkan Harga Minyak & Tunai Janji Jika Nak Menang PRK Semenyih

KUALA LUMPUR – Kerajaan perlu melakukan sesuatu sekiranya mahu melihat Pakatan Harapan (PH) menang di Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Semenyih Mac depan.

Ketua Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Negeri Sembilan, Tan Sri Rais Yatim berkata, ada beberapa perkara yang perlu dipertimbangkan gabungan itu dalam strategi untuk mempertahankan kerusi berkenaan daripada jatuh ke tangan Barisan Nasional (BN).

“Tutup satu tol, kurangkn hrga minyak utk motoris Msia. Tunai janji Felda pra-Mei 2018.

“Buat stok penimbal beras, tepong, mnyk masak, susu anak. Smenyih menang,” katanya di Twitter.

Rais berkata demikian mengulas mengenai kekalahan PH di Cameron Highlands pada Sabtu lalu.

Mengulas lanjut, Rais berkata, rakyat jelas tidak suka dengan kerajaan yang dilihat mungkir janji dengan tidak melaksanakan janji-janji dalam manifesto Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14), lalu.

Sabtu lalu, calon DAP, M Manogaran tewas buat kali ketiga kepada calon muka baru daripada BN, Ramli Mohd Noor dengan majoriti 3,238 undi.

Ramli mendapat mendapat 12,038 undi, mengalahkan Manogaran yang menperoleh 8,800 undi.

Dua calon bebas, Sallehuddin Ab Talib yang memakai simbol buku mendapat 314 undi, manakala Wong Seng Yee yang menggunakan simbol cangkul hanya meraih 276 undi.

Untuk rekod, Ramli merupakan Ahli Parlimen pertama di Malaysia dikalangan masyarakat Orang Asli.

Mengulas lanjut Rais berkata, rakyat tidak akan memilih kerajaan yang enggan menunaikan janji yang jelas diperlihatkan dalam keputusan PRK Cameron Highlands biarpun meletakan calon yang dikenali.

“Mungkir janji org tak suka, orang tak pilih kita. Pimpinan atasan PH tentu lebih drpda faham kenapa kalah di C Highlands,” katanya lagi.

Pada 18 Januari lalu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRK DUN Semenyih diadakan pada 2 Mac depan dan hari penamaan calon ditetapkan pada 16 Februari, manakala tarikh mengundi awal pada 26 Februari.

PRK DUN Semenyih diadakan susulan kematian penyandangnya dari Pakatan Harapan (PH), Bakhtiar Mohd Nor, pada 11 Januari lalu akibat serangan jantung.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) 9 Mei lalu, Bakhtiar menewaskan penyandangnya daripada Barisan Nasional (BN), Datuk Johan Abdul Aziz serta dua lagi calon iaitu Mad Shahmiour Mad Kosim (PAS) dan S Arutchelvan mewakili Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Bakhtiar mengalahkan Johan daripada UMNO yang menjadi wakil rakyat di kerusi itu selama dua penggal dengan majoriti 8,964 undi selepas memperoleh 23,428 undi.

Seramai 54,503 pemilih layak mengundi bagi PRK itu mengikut daftar pemilih sehingga suku ketiga 2018 yang dikemaskini sehingga 11 Januari lalu. – MalaysiaGazette

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.