Shukri Buang Imej Lelaki Comel

KUALA LUMPUR: Mahu lari daripada watak lelaki berpangkat atau hero romantis mendorong Shukri Yahaya tampil dengan wajah berminyak demi menghidupkan karektor ‘budak pantai’ dalam filem Surf This Love (STL).

Shukri, 30, berkata filem yang bakal menemui penonton bulan depan itu dijangka mampu memadamkan imej lelaki comel yang sering dibawanya.

“Sepanjang tiga minggu penggambaran saya melalui banyak pengalaman baharu terutama dalam menonjolkan sisi pemain papan luncur bernama Billy yang lincah melawan ombak.

“Boleh dikatakan banyak babak di tepi pantai termasuk seminggu di Bali. Walaupun menggunakan khidmat pakar, saya yang pertama kali diperkenalkan dengan sukan luncur air, masih perlu belajar.

“Bukan hanya wajah terbakar kerana panas mentari dan banyak luka kecil pada tubuh akibat terkena karang dalam satu babak, kaki saya luka terpijak pelepah nipah ketika terjatuh dalam paya,” katanya kepada BH Online.

Tambah Shukri, semua pengalaman dan perubahan fizikal dialami termasuk berambut panjang dapat menyerlahkan dirinya dengan imej ‘beach boy’ atau budak pantai.

Akui Shukri, peluang menonjolkan sesuatu yang baharu dan lari daripada watak klise membuktikan dia mampu mencabar diri berada di luar zon selesa.

Selain Shukri, filem STL arahan Wan Mohd Hafiz Wan Hussain itu turut membariskan Josiah Hogan, Pekin Ibrahim, Datuk Farid Kamil, Ardell Aryana, Beto Khusyairi dan Mustakim Bahadom.-Bharian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.