Semangat Hafiz

Industri muzik tanah air bergerak mengikut peredaran masa.

Seiring dengan teknologi yang berkembang maju, dunia digital juga mengatasi segala-galanya termasuklah bentuk produk terakhir yang disajikan kepada peminat.

Itulah yang dilakukan penerbit, penyanyi dan komposer, Hafiz Hamidun yang kini menghasilkan semua karya yang diterbit­kan dalam bentuk digital dan tiada lagi cakera padat (CD).

“Syarikat saya kini mengeluarkan 100 peratus karya dalam bentuk digital, namun CD akan dikeluarkan juga dalam edisi terhad sekiranya ada permintaan.

“Selain itu, kalau ada permintaan untuk album tertentu juga, kami akan keluarkan versi khas untuk koleksi yang eksklusif,” katanya.

Diminta mengulas mengenai keputusan itu, Hafiz berkata, dia sendiri sempat melalui pengalaman ketika perubahan daripada kaset ke CD.

“Pada awal pembabitan saya dalam bidang muzik, ketika itu album masih dihasilkan dalam format kaset.

“Apabila syarikat rakaman memaklumkan mengenai transformasi ke CD dan tiada lagi kaset selepas itu, saya sendiri pun terkejut.

“Tapi, semua artis pada waktu itu menerima adaptasi itu sebagai sesuatu yang baru. Alhamdulillah, penerimaannya baik,” katanya.

Sehingga kini, labelnya, Arteffects Records sudah menghasilkan lebih sejuta CD dan Hafiz sendiri berpuas hati dengan pencapaian itu.

Terbaru, Hafiz bakal muncul dengan single terbarunya berjudul Jangan Berhenti.

“Tahun ini saya akan muncul dengan single baru dan akan ada kejutan dalam video muzik lagu Jangan Berhenti itu,” katanya.

Bercerita mengenai single baru itu, Hafiz memaklumkan ia akan membabitkan figura masyarakat sesuai dengan jalan ceritanya.

“Lagu genre balada ini berkisar mengenai motivasi dan semangat untuk terus maju. Jadi, saya akan tampilkan ‘public figure’ yang sesuai dengan lagu ini.

“Namanya masih lagi dirahsiakan memandang­kan pihak saya sedang melakukan perbincangan dengannya,” katanya.

Lagu Jangan Berhenti adalah hasil karya komposer terkenal, Azlan Abu Hassan dan lirik oleh Hafiz sendiri.

Selain itu, dia juga turut sibuk menghasilkan beberapa lagu untuk artis lain.

“Antara yang sudah dikeluarkan adalah lagu berjudul Mimpi untuk pe­nyanyi, Liza Hanim.

“Selain itu, ada beberapa artis lagi yang me­nyanyikan lagu ciptaan saya antaranya Anis Al-Idrus dan penyanyi baru, Adly Sofwan,” katanya.-Hmetro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.